Thursday 29 August 2013

Budak 8 tahun dibelasah

KUALA TERENGGANU - Seorang ibu tidak menyangka dua remaja tergamak membelasah anak lelakinya yang baru berusia lapan tahun sehingga retak di tulang rahang, dalam satu kejadian di Kampung Bukit Guntong Banggol Peradong, Manir, di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin berkata, kejadian itu hanya diketahui ibu kepada kanak-kanak malang itu kira-kira jam 5.30 petang selepas dimaklumkan oleh anak sulungnya.

“Semasa kejadian, suri rumah terbabit, 44, sedang berehat di rumah sebelum didatangi anak sulungnya memaklumkan adiknya dibelasah dua remaja dikenali berhampiran kediaman mereka.

“Terkejut dengan maklumat itu, ibu mangsa terus ke lokasi dimaksudkan sebelum mendapati mangsa sedang menangis kesakitan dengan keadaan mukanya lebam teruk,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Zamri berkata, mangsa dibawa menerima rawatan susulan di hospital dan doktor yang merawatnya mengesahkan mangsa mengalami retak tulang rahang dan lebam di muka.

Laporan berhubung kejadian dibuat di Balai Polis Manir dan kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mencederakan mangsa, yang membawa hukuman penjara dan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

1 comment: