Thursday, 29 August 2013

'Charlie' Dan 'Delta' Senjata Baru PDRM Perangi Jenayah

1043867 629635043723469 1561078581 n

Skuad khas 400 anggota yang dibentuk oleh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menangani jenayah berat dan juga narkotik akan dibahagi kepada dua skuad yang dikenali sebagai “Skuad Khas Charlie” dan “Skuad Khas Delta”.

Skuad Khas Charlie akan menangani jenayah berat manakala Skuad Khas Delta pula dadah dan narkotik.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu temuramah eksklusif bersama mStar Online menegaskan, keputusan untuk membentuk skuad khas ini, yang beroperasi dari Bukit Aman bukan hanya keputusan kementerian tetapi juga adalah keputusan kerajaan.

“Ini adalah keputusan kerajaan persekutuan bukan keputusan KDN atau PDRM dan kita membuat persediaan ke arah pembentukan skuad ini kerana kita menyedari yang kumpulan kongsi gelap ini akan mengambil tindak balas ke atas pihak berkuasa.

“Sebelum ini berlaku, PDRM telah mewujudkan dua skuad di bawah skuad khas ini yang kita namakan Skuad Khas Charlie dan Skuad Khas Delta. Charlie akan menangani kes jenayah berat manakala Delta kes narkotik berat,” jelas Ahmad Zahid.

Kepada soalan mengapa sekarang PDRM kelihatan memberi tumpuan khusus dan membentuk skuad khas ini bagi menangani permasalahan kumpulan kongsi gelap dan narkotik, Ahmad Zahid memberikan tiga faktor utama.

Pertama, selepas dibebaskan ekoran pemansuhan Ordinan Kecemasan dan Akta Kediaman Terhad, bekas-bekas tahanan ini kembali kepada tabiat lama dan mereka sekarang sedang dalam perebutan kawasan kawalan masing-masing.

Kedua, kata Zahid, mereka merancang dan sedang membalas dendam ke atas saksi-saksi yang sebelum ini telah mendedahkan kegiatan mereka.

Dan ketiga, tegasnya lagi, mereka mula membunuh mangsa-mangsa dengan tujuan untuk mendapatkan habuan.


No comments:

Post a Comment