Friday 30 August 2013

Dr Zambry Tenang Gulung Perbahasan

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengejutkan banyak pihak yang mengikuti perjalanan Sidang DUN ke 13 Perak apabila tenang menggulung perbahasan titah ucapan perasmian Pemangku Raja Perak, hari ini.

Walaupun beliau difitnah dengan pelbagai tuduhan oleh beberapa wakil rakyat pembangkang sepanjang Sidang DUN, khususnya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin (PAS – Changkat Jering), Pengerusi DAP, Datuk Ngeh Koo Ham (DAP – Sitiawan) dan Setiausaha DAP, Nga Kor Ming (DAP – Kepayang), tetapi beliau tidak membalas balik di dalam ucapannya.

Ramai yang menjangkakan beliau akan membuat penggulungan yang cukup tegas sehingga boleh memanaskan suasana dalam Dewan, lebih-lebih lagi tuduhan Ngeh dalam isu kelulusan tanah.

Ngeh ketika satu sidang media menuduh berlaku `skandal terbesar negara’ dan `rompakan’ ketika mempertikaikan kelulusan tanah 120,000 hektar, kononnya untuk kroni-kroni.

Bagaimanapun, Dr Zambry tidak menggunakan ucapan penggulungan untuk `membalun’ Ngeh dan wakil-wakil rakyat pembangkang.

Sebaliknya, lebih mengejutkan, beliau menunjukkan sikap `gentlemen’ dengan memberi ruang dan peluang untuk beberapa wakil rakyat mencelah ketika berucap.

Malah, beliau turut memberi peluang kepada Mohamad Nizar untuk mencelah tetapi dengan syarat wakil rakyat itu `tidak memberi ucapan’.

Sepanjang penggulungan lebih satu setengah jam itu, yang bermula kira-kira jam 6.45 petang dan disambung semula kira-kira jam 7.45 malam, selepas solat Maghrib, beliau langsung tidak menunjukkan rasa marah.

Sebaliknya, beliau bersahaja walaupun beberapa wakil rakyat pembangkang cuba membuat provokasi.

Beliau sempat bergurau dengan wakil-wakil rakyat pembangkang, termasuk Nga dan Ngeh.

Diakhir penggulungan, Menteri Besar memuji semua wakil rakyat, baik di pihak kerajaan, mahupun pembangkang, kerana telah menunjukkan sikap dan perbahasan yang bermutu.

Beliau turut memuji Speaker, Datuk S.K Devamany yang disifatkannya telah menjalankan tugas dan peranan dengan begitu baik sekali.

No comments:

Post a Comment