Sunday, 25 August 2013

JANGAN JADIKAN ISU AGAMA MODAL POLITIK – RAJA NAZRIN

22222222222222222222222222222222

IPOH – Pemangku Raja Perak, Raja Nazrin Shah mengingatkan semua pemimpin politik tanpa mengira ideologi supaya menjadi teladan yang baik dengan mengelak daripada mensensasikan isu agama sebagai modal politik.

Raja Nazrin bertitah, semua pihak perlu mengambil sikap teliti dan berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan dan memberi reaksi terhadap perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti agama bagi memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Kompleksiti  dalam menangani isu antara agama hendaklah difahami.  Perselisihan berlaku sering kali disebabkan kurang fahaman terhadap sensitiviti sesuatu isu. Ia harus ditangani dengan penuh kebijaksanaan dan secara berhikmah, berupaya melihat sesuatu persoalan secara adil dan saksama,” titah baginda.

Raja Nazrin bertitah demikian ketika merasmikan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.

Berangkat sama, Raja Puan Besar Tuanku Zara Salim.

Keberangkatan baginda pada pukul 9.30 pagi disambut oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri serta Yang Dipertua Dewan Negeri, S. Dewamany S bersama Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) di perkarangan Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Titah Raja Nazrin, agama adalah subjek yang sangat dekat di hati dan mempunyai ikatan emosi yang rapat dengan penganutnya dan sebarang isu agama perlu dibincangkan dalam suasana mesyuarah berlandaskan sifat keilmuan untuk membolehkan tercapainya titik persefahaman dan titik pertemuan.

Justeru, titah baginda, amatlah penting diamalkan sifat teliti dan sikap berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan dan memberi reaksi terhadap perkara-perkara yang menyentuh agama.

“Setiap  pengucapan, setiap tindakan hendaklah berasaskan fikiran rasional dan bukan dipengaruhi emosi.  Sebarang pertelingkahan, tidak harus  dipolimikkan, tidak harus lebih dikusutkan.  Kenyataan terbuka berunsur provokatif hendaklah dielakkan.  Isu agama perlu dibincangkan dalam suasana mesyuarah berlandaskan sifat keilmuan untuk membolehkan tercapainya titik persefahaman dan titik pertemuan,” titah baginda.

Suasana harmoni, titah baginda, tidak mungkin tercapai jika setiap pihak memilih kaedah berkonfrontasi -dan kaedah kekerasan.

Sehubungan itu, baginda menasihatkan semua ahli-ahli DUN Perak tanpa mengira kabilah politik dapat mempamerkan sebaik contoh dalam mewujudkan persefahaman dengan mengelakkan tindakan mensensasikan isu agama.

“Demi memastikan kelangsungan budaya demokrasi terus segar dan subur di bumi ini, ahli-ahli Dewan Negeri Perak, sama-samalah berada di barisan hadapan, mewakili suara kesederhanaan, mendendangkan lirik persefahaman, mengalunkan simfoni keharmonian ke arah membina persekitaran beragama yang mencerminkan budaya saling menghormati,” titah baginda.

Sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara, Raja Nazrin menyeru supaya kekuatan negara ini diteruskan melalui amalan politik yang bersandarkan semangat menjalin kerjasama antara kaum, sama ada di pihak kerajaan dan pembangkang kerana masing-masing ada peranan yang relevan lagi konstruktif.

“Bersamalah mengambil tanggungjawab untuk memastikan ketenteraman awam dan keselamatan negara terus terjamin.  Bersamalah memberikan kerjasama untuk meringankan tugas berat pasukan keselamatan dalam menghadapi cabaran harian terutama memerangi jenayah.  Tugas memerangi jenayah adalah juga tugas dan tanggung jawab setiap warga kerana penjenayah tidak tinggal dan tidak bergerak dalam isolasi.

“Tugas pasukan keselamatan akan lebih dapat ditumpukan kepada tugas menangani jenayah, jika warga dapat mengurangkan kerenah-kerenah mencuri masa , mencuri tenaga  dan mencuri tumpuan anggota pasukan keselamatan.  Bersamalah mengambil tanggungjawab memastikan negara kekal aman, tenteram, stabil dan makmur.  Bersamalah mengambil tanggung jawab meluhurkan Perlembagaan dan mendaulatkan undang-undang,”  titah baginda – Perak Post

No comments:

Post a Comment