KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan akan mencari punca nahas bas di Genting Highlands, yang mengorbankan 37 nyawa, dan pihak bertanggungjawab sehingga ke lubang cacing.
Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata siasatan akan dilakukan secara teliti dan rapi.
"Kita akan cari sampai ke lubang cacing punca terjadi tragedi yang cukup menyayat hati ini," katanya ketika diminta mengulas nahas itu ketika ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri Bersama Menteri Pertahanan di sini, Rabu.
Menteri Pertahanan itu juga meminta agensi di bawah Kementerian Pengangkutan, khususnya Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), menggariskan cara bagi mencari punca nahas berkenaan.
Hishammuddin turut meminta semua pihak agar tidak menuding jari kepada sesiapa dan menunggu laporan awal lengkap.
"Tunggu dulu. Janganlah hendak menuding jari kepada mana-mana pihak seperti yang selalu terjadi dalam keadaan beremosi," katanya.
Ditanya sama ada kerajaan akan meminta pengunjung tidak melawat pusat peranginan Genting Highlands buat sementara waktu, Hishammuddin berkata semua itu bergantung kepada siasatan awal sama ada ia berkaitan keadaan bas, pemandu atau keadaan jalan.
"Banyak sangat kemungkinan. Jadi, sebelum saya dapat maklumat yang lebih terperinci, saya tidak boleh memberikan keputusan yang tepat berkaitan perkara itu," katanya.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa nahas.
Antara kenamaan yang hadir pada Rumah Terbuka Aidilfitri Bersama Menteri Pertahanan ialah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin. BERNAMA
No comments:
Post a Comment