KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan bahawa kerajaan sentiasa terbuka dan menerima setiap pandangan yang dikemukakan oleh mahasiswa, asalkan untuk kebaikan negara.
Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata saranan itu menjadi input berguna kepada kerajaan dalam menggubal dasar awam.
"...namun pandangan itu mesti dibuat dengan berhati-hati," katanya ketika merasmikan mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh.
Muhyiddin berkata kerajaan sudah membuktikan menerima pandangan bernas daripada mahasiswa apabila beberapa usul daripada 14 resolusi yang disuarakan pelajar pada mesyuarat MPPK sebelum ini dilaksana oleh kerajaan.
Antaranya usul membabitkan jaminan bekalan makanan negara yang membawa kepada penganjuran Konvensyen Makanan Negara melibatkan pemimpin mahasiswa, pelajar universiti dan anggota Kelab Usahawan Siswazah (MyAGROSIS) pada 16 Dis lepas, katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata konvensyen itu menjadi wadah penting kepada mahasiswa dalam mentransformasikan sektor pertanian dengan idea-idea segar dalam menjana kekayaan seterusnya melahirkan generasi 'Agropreneur' negara bagi menyumbang kepada jaminan bekalan makanan pada masa depan.
"Antara lain, tindakan susulan kerajaan hasil mesyuarat MPPK yang lepas ialah pelancaran Kad Diskaun Siswa 1Malaysia bagi membantu mereka mengurangkan kos sara hidup," katanya.
Sehubungan itu Muhyiddin berharap perwakilan pelajar pada mesyuarat kali ini matang dan rasional dalam melontarkan pendapat masing-masing, selaras dengan komitmen tinggi yang ditunjukkan kementerian, jabatan dan agensi kerajaan yang menyertai dialog pada mesyuarat berkenaan.
Ditubuhkan pada 1999, MPPK menjadi platform utama bagi kepimpinan pelajar institusi pengajian tinggi membincangkan isu-isu nasional dan memberi pandangan berhubung pembangunan negara. - Bernama
Tuesday, 20 August 2013
Kerajaan terbuka terima pandangan mahasiswa
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment