Dalam satu majlis Aidilfitri di Ipoh, Perak semalam, DS Anwar Ibrahim mengungkapkan kata-kata: "Tindakan menggulingkan Presiden Mohammed Mursi adalah satu pengkhiatan terhadap prinsip demokrasi kerana parti pimpinan Mursi dipilih secara sah dalam pilihan raya"
Katanya juga: "Parti Islam ke, parti nasionalis ke, parti bukan Islam ke, kalau rakyat pilih kita kena hormat kerana itu prinsip demokrasi"
Lantas, saya tertanya-tanya, kalau begitu gamaknya, kenapa agaknya beliau dan konco-konco PR bermati-matian cuba mengheret rakyat ke jalanan untuk menjatuhkan kerajaan BN yang juga sah dipilih secara demokratik?
Harap-harap DS Anwar tidak bermaksud bahawa PR dan Ikhwanul Muslimin mempunyai insiprasi dan matlmat yang sama untuk menuntut keadilan demokrasi kerana jika Anwar bermaksud demikian, beliau sebenarnya cuba meremehkan pemikiran rakyat di tahap paling bawah.
Hakikatnya, rakyat Mesir bangkit menuntut supaya teraju kerajaan diserahkan kembali kepada parti Ikhwanul Muslimin yang sebelum ini dipilih secara demokrasi manakala PR cuba menghasut rakyat untuk menjatuhkan kerajaan yang juga dipilih secara demokrasi.
Dakwaan PR kononnya berlaku penipuan termasuk kononnya ada 40,000 warga Bangladesh dibawa masuk untuk mengundi BN, blackout di pusat pengiraan undi, pengundi hantu dan bermacam-macam lagi tuduhan dalam PRU-13 ternyata gagal mengaburi kefahaman rakyat mengenai ketelusan pilihan raya.
Ya, mungkin ada lompang-lompang yang perlu dibaiki SPR, tetapi untuk mengatakan BN menang dengan modal penipuan dan manipulasi, ia sangat jauh dari jangkauan realiti.
Rakyat boleh menilai bagaimana Anwar beserta taiko-taiko PR seperti Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Karpal Singh, DS Hadi Awang dan DS Nik Aziz Nik Mat sehinggalah pemimpim-pemimpin muda PR yang lain menang bergaya dengan majoriti yang tinggi. Malahan, nama-nama besar dalam BN seperti DS Ali Rustam dan Datuk Abdul Ghani Othman tewas mengejut dan mereka akhirnya menerima keputusan rakyat.
Kejayaan PR mempertahankan negeri 'lubuk emas' di Selangor, Pulau Pinang selain mempertahankan pemerintahan 23 tahun Pas di Kelantan selain berjaya merampas banyak kerusi kubu kuat BN dalam PRU lalu juga sudah cukup menggambarkan betapa pilihan raya berlaku dengan semangat demokrasi.
Dalam ucapannya pada majlis itu juga, Anwar menghentam kerajaan DS Najib yang dikatakannya bersifat membisu dalam konflik di Mesir. Media pula dikatakan tidak menyiarkan berita mengenai pertumpahan darah yang berlaku.
``Kita kena buat pendirian, mana-mana negara bila ada kelaziman, kita kena suarakan. Ini media tidak siar (berita), PM (Perdana Menteri) tidak keluar kenyataan,'' kata Anwar.
Betulkah ini? Secara jujur, saya terkejut kerana setahu saya, Najib adalah antara pemimpin negara yang paling awal memberi respon terhadap pertumpahan darah di negara tersebut. Dan kenyataannya turut disiarkan secara meluas media tempatan.
Ini antara kenyataan Najib yang disiarkan mengenai konflik di Mesir.http://twtlike.com/107
Media arus perdana termasuk Utusan Malaysia dan Berita Harian serta portal-portal berita yang sering dikaitkan dengan kerajaan turut menyiarkan secara meluas mengenai penggulingan Mursi dan pembunuhan beramai-ramai yang berlaku. Malahan, Utusan Malaysia misalnya, pernah menyiarkan berita dan gambar-gambar pertumpahan darah yang berlaku di muka hadapan akhbar berkenaan selama tiga hari berturut-turut.
Kalau akhbar luar negara banyak memetik kenyataan pimpinan rejim tentera Mesir , akhbar negara kita memilih untuk turut menyiarkan kenyataan pemimpin Ikhwanul Muslimin terutamanya mengenai jumlah sebenar rakyat Mesir yang terkorban dalam konflik berkenaan. Jadi, macam mana Anwar tuduh media tidak siar tentang isu Mesir?
Janganlah membohongi rakyat dengan fitnah-fitnah jijik begini. Lebih teruk, fitnah-fitnah ditabur dalam sebuah majlis sambutan Aidilfitri. Kenapa susah sangat hendak setidak-tidaknya bercakap mengenai kebenaran?
Lebih penting, lebih baik Anwar berhenti berlagak hendak mengajar 'Perdana Menteri' macam mana hendak jadi Perdana Menteri.
Usahlah hendak mengangkat diri sebagai hero rakyat Mesir sedangkan beliau sendiri tidak dipandang sebagai hero di negara sendiri.
Usahlah mahu bercakap soal demokrasi untuk rakyat Mesir sedangkan beliau dan konco-konco beliau sendiri sebenarnya mengkhianati prinsip demokrasi dengan menghasut rakyat ke jalanan untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokratik.
Kalau Anwar belum ada cukup keberanian untuk bercakap sesuatu yang benar, layakkah beliau hendak bercakap soal demokrasi?
No comments:
Post a Comment