Juara bertahan, Perak akan memulakan misi mempertahankan Piala Presiden menentang Negeri Sembilan di Paroi pada hari Khamis ini.
Jurulatih, Abu Bakar Fadzim berkata, persiapan skuad Seladang Muda berjalan lancar sejak bulan Jun lalu.
Namun begitu, Bakar bimbang rehat yang terlalu panjang dalam bulan Ramadhan dan cuti Hari Raya Aidilfitri boleh menjejaskan rentak persembahan para pemain.
"Saya berharap para pemain akan cepat panas dan seterusnya mampu mempamerkan persembahan mantap pada hari Khamis ini,'' jelas Bakar di Ipoh semalam.
Dalam usaha memantap pasukan tersebut, beberapa siri perlawanan persahabatan termasuk beraksi dengan skuad Piala Malaysia Perak turut diadakan baru-baru ini.
"Para pemain muda tersebut berjaya mempamerkan persembahan memuaskan dalam siri perlawanan persahabatan berkenaan,'' kata Bakar.
Beliau berharap mereka mampu mengekalkan prestasi tersebut dalam perlawanan pertama kelak.
Selain itu, Bakar lega apabila jurulatih Piala Malaysia Perak, Mohd Azraai Khor Abdullah membenarkan tujuh pemain yang dipinjam kembali beraksi dengan skuad muda Perak.
"Saya percaya kehadiran ketujuh-tujuh pemain tersebut akan menyuntik semangat pemain-pemain lain untuk sama-sama bekerja keras bagi
mendapatkan kemenangan,'' jelasnya.
Bakar berkata, kemenangan pertama penting kerana akan menyemarak semangat pasukan tersebut untuk memburu kemenangan dalam perlawanan akan datang.
No comments:
Post a Comment