Friday, 16 August 2013

Ngeh 'Meludah Ke Langit, Terkena Muka Sendiri', Akui Pakatan Tidak Jawab Semua Soalan DUN


                                       

                               

Pepatah ‘meludah ke langit, terkena muka sendiri’ adalah ungkapan paling tepat untuk diberikan kepada Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham terhadap fitnah yang dicetuskannya mengenai isu soalan Dewan Dewan Undangan Negeri.

Dalam satu sidang medianya hari ini, Ngeh akhirnya mengaku terdapat soalan yang tidak dijawab semasa sesi sidang DUN ketika kerajaan Pakatan mentadbir Perak selama 11 bulan.

Sidang media itu dibuat selepas taktiknya untuk memanipulasi perjalanan sidang DUN dengan menfitnah Kerajaan Barisan Nasional melalui laman sosial Facebook bagi meraih simpati rakyat ditemplak Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sehingga mendapat liputan meluas media.

Ketika disoal pemberita, beliau bagaimanapun cuba berdolak-dalik dengan menyalahkan sistem yang telah diamalkan sekian lama.

Menurut beliau, sistem yang diamalkan itu menyebabkan mereka tidak mempunyai cukup masa untuk menjawab semua soalan lisan yang dikemukakan oleh wakil rakyat.

Beliau mendakwa, kerajaan Pakatan Rakyat tidak pernah menolak soalan yang dikemukakan oleh Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ketika itu.

“Kita tidak pernah menolak soalan seperti yang mereka lakukan, semua soalah diterima dan tidak ditolak,” katanya kepada media di pejabat DAP Perak di Ipoh hari ini.

Ngeh menuduh kegagalan menjawab semua soalan adalah disebabkan sistem yang diwarisi sejak pemerintahan kerajaan Barisan Nasional.

“Memang masa itu ada soalan yang tidak diberi jawapan bertulis oleh pegawai kerajaan kerana itu sistem yang diturunkan dan kita perlu rombak.

“Masa itu, pegawai kerajaan tidak memberikan jawapan yang belum dijawab. Masa itu, kalau diminta, kita akan arahkan.

“Tanya Dr Zambry, adakah dia minta kepada kita untuk dapat jawapan. Kalau dia ada minta, kita mesti sudah arahkan pegawai kerajaan beri jawapan terus,” ujarnya seolah-olah cuba mencari alasan. 

Ngeh turut mencadangkan supaya persidangan DUN diadakan sekurang-kurangnya 30 hari dalam setahun bagi membolehkan mereka membincangkan masalah yang dihadapi oleh rakyat.

Dalam hubungan ini, beliau mencabar kerajaan Barisan Nasional supaya menjawab semua soalan yang akan dikemukakan pada sidang DUN yang akan datang.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Beruas turut menolak dakwaan kononnya cuba mengkritik keputusan mahkamah berhubung penolakan petisyen pilihanraya dan  menghasut rakyat mengadakan demonstrasi jalanan.

“Kita khuatir bukan soal menang kalah kes, tetapi kita khuatir tentang kewibawaan kehakiman tercabar kerana tindakan menolak kes tanpa pendengaran.

“Bagi saya, bukan soal menang kalah kes, bagi saya tugas hakim, tugas kehakiman untuk mendengar kes dan melaksanakan keadilan,” tambahnya.



No comments:

Post a Comment