Saturday 31 August 2013

Tiada Kompromi Jika Ahli Politik Terlibat Dengan Kongsi Gelap

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata polis tidak akan berkompromi malah akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu termasuk ahli politik sekiranya terbukti terlibat kongsi gelap.

Beliau yakin polis mampu mengumpul maklumat terperinci untuk membuktikan sesiapa sahaja yang terlibat kongsi gelap tidak kira ahli politik atau tidak.

"Malahan undang-undang juga akan dikuatkuasakan supaya polis tidak disalahtafsirkan berkompromi dengan penjenayah," katanya.

Junaidi berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Sin Chew Daily, Rabu lepas yang mengatakan sebilangan ahli politik ternama menaungi beberapa kumpulan kongsi gelap dan menjadi penasihat kumpulan terbabit.

Kumpulan itu meliputi "Geng 04", "Geng 08", "Geng 21" dan "Geng 36" daripada kalangan kaum India; "Hong Shun Tang", "3821", "Wu Se Qi", "Hong Men" dan Hua Ji Dang" daripada kalangan kaum Cina; serta "Geng 3 Calit" daripada kalangan kaum Melayu.


No comments:

Post a Comment