Wednesday, 25 September 2013
Awas... Agenda Cina ubah sejarah Tanah Melayu
Pada 15 September lalu, akhbar Nanyang Siangpau memaparkan pendapat tulisan individu bernama Phang Sin Cai yang mahu 'selarikan' sejarah orang Cina di Tanah Melayu.
Hujahnya tentang sejarah dapat mengeratkan hubungan dan perpaduan rakyat tentunya sesuatu yang baik untuk negara tetapi terdapat beberapa ayat membawa maksud tersirat yang diselitkan penulis dan boleh mengundang persoalan tujuan sebenar artikel itu dikongsi kepada umum.
Sin Cai membuat hujah persatuan Cina perlu 'menyelaraskan rekod sejarah' untuk tatapan generasi muda Cina khususnya di sekolah-sekolah vernakular, umpama rekod sejarah yang diajar di semua sekolah kini salah dan perlu 'diubah suai'.
Antara perkara yang menimbulkan persoalan termasuk cubaan penulis ini mengetengahkan 'pejuang daerah Setiawan' ketika isu Chin Peng mahu 'pulang' ke kampung halamannya itu menjadi perdebatan ramai.
Isu 'pejuang daerah' turut dikaitkan dengan penubuhan 100 tahun persatuan Cina, Sejarah Cheng Ho yang dikatakan menjangkau 600 tahun dan Bukit Cina, Melaka yang 'dikunjungi' jutaan pelancong dari China setiap tahun.
Adakah pendapatnya itu secara halus mahu menguatkan agenda segelintir pihak mahu menukar status orang Cina di negara ini juga sebagai kaum Bumiputera?
Ada yang akan katakan ini cuma 'terlebih sensitif' terhadap pendapat seorang individu Cina tetapi penulisannya tentang pepatah 'tiada orang Cina, tiada bandar', beserta petikan kata-kata Tun Dr. Mahathir Mohamad yang didakwanya menyokong pepatah itu membuatkan artikelnya itu berubah nada.
Jika benar ini antara cara halus mengubah sejarah untuk 'menjadikan' orang Cina sebagai bumiputera, maka nyata dengan sengaja ia mengabaikan fakta bumiputera hanya untuk penduduk kepulauan Nusantara (Malay Archipelago) dengan sejarah cara hidup serta penempatan ribuan tahun, bukannya mereka yang berhijrah ke rantau ini 'ratusan' tahun dahulu.
Cubaan mengubah status orang Cina sebagai 'pribumi' juga umpama satu penghinaan kepada kaum Cina yang memegang teguh bahasa, budaya dan tradisi nenek moyang mereka yang diwarisi daripada sejarah lebih 2,000 tahun tamadun China.
Pengarah Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) merangkap Ketua 1 Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), Profesor Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar melihat usaha meletakkan orang Cina sama seperti bumiputera sebagai aneh.
Menurut beliau, fakta sejarah dan Perlembagaan sendiri boleh menyangkal keras usaha pihak terbabit kerana status bangsa, Raja-Raja Melayu, bahasa dan agama telah pun ditafsirkan.
"Orang Melayu contohnya, penting dalam sejarah asal Tanah Melayu dan warisannya diiktiraf Perlembagaan. Mustahil untuk mereka sangkal fakta ini mahupun untuk samakan (Bumiputera) dengan bangsa lain.
"Orang Melayu penduduk asal, ada sistem politik, pentadbiran kukuh dengan Raja, Bendahara, Temenggung dan sebagainya daripada rumpun kepulauan Melayu sementara orang Cina, peniaga yang berasal dari China, kelompok dari benua lain," katanya.
Beliau menjelaskan, bilangan penduduk Cina tidak ramai dan tidak memberi kesan dalam pentadbiran Tanah Melayu ketika itu dan hanya pada abad ke-19 barulah ramai orang Cina berhijrah ke sini sehingga membentuk kelompok sendiri dan menguasai ekonomi.
Tambahnya, orang Cina ketika itu dibawa masuk penjajah untuk membantu ekonomi orang Inggeris dan selepas merdeka, mereka mewarisi penguasaan ekonomi negara.
"Ketika kita dijajah, hanya ada Residen British dan pembesar Melayu, tiada pentadbir Cina. British juga hanya berunding dengan Raja-Raja Melayu dalam pentadbiran.
"Kumpulan penentang (komunis) di zaman Jepun juga bukan berjuang untuk negara tetapi mahu menyebar ideologi komunis dan membentuk negara republik dengan menghapuskan sistem Raja-Raja Melayu. Hanya MCA yang turut serta ke arah kemerdekaan," dakwanya.
Beliau berpendapat usaha mengubah status orang Cina sebagai bumiputera hanya untuk memporak peranda sejarah negara yang akhirnya akan membawa kepada pengiktirafan komunis dan Chin Peng.
Baginya, golongan tersebut bukannya mahu menegakkan demokrasi berperlembagaan tetapi mahu mewujudkan Republik Malaya dengan alasan hak asasi dan 'demokrasi bebas'.
Abdul Latiff menganggap tuntutan itu tidak rasional, dibuat golongan nasionalis sempit serta berharap tiada yang berkompromi dan menolak terus cubaan mengubah tafsiran bumiputera kerana ia boleh menghancurkan negara.
Beliau juga melihat orang Melayu yang menyokong agenda tersebut hanya untuk tujuan politik demi menarik undi orang Cina secara bermusim dan tidak akan berkekalan.
"Terima hakikat ada beza antara penduduk asal dan yang bukan, Perlembagaan menjaga pengiktirafan ini kerana tidak mahu pribumi tersia-sia di bumi sendiri.
"Pribumi sudah terima mereka dan berikan kerakyatan, maka mereka juga perlulah hormat apa yang sudah ditetapkan dalam Perlembagaan," jelasnya.
Ketua Kluster Sejarah Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Datuk Dr. Zainal Kling pula menyarankan pihak yang mahu 'menulis semula' sejarah orang Cina di negara ini menerima dahulu yang buruk bersama yang baik, bukannya membuat tafsiran sendiri.
"Lahir di sini tidak memberikan hak kerakyatan, oleh itu tidak boleh kata penderhaka seperti Chin Peng sebagai pejuang. Jika mahu selaras sejarah, kena terima asas utama mereka bukan pribumi dan datang dari wilayah lain.
"Banyak juga fakta dalam sejarah yang kita tidak tulis seperti penjahat-penjahat berbangsa Cina yang kononnya pelombong, golongan gengster, pelacur, tauke penindas buruh Cina dari tanah besar China dan banyak lagi. Mereka kena terima fakta ini sama, bukan yang baik-baik sahaja," ujarnya.
Beliau turut mendakwa ideologi komunis dikembangkan di Tanah Melayu sebelum merdeka kerana mahu membalas dendam terhadap Jepun yang menakluk sebahagian wilayah China pada 1931 dan bukannya untuk perjuangkan kemerdekaan negara.
Selain itu, beliau memaklumkan sejarah menunjukkan orang Cina menjadi tali barut Portugis menyerang Melaka dengan memberi tongkang mereka kepada tentera penjajah dan membantu British hingga berjayanya Perjanjian Pangkor.
"Mereka kena terima semua fakta ini dahulu, janganlah buat tafsiran sendiri, ambil sejarah yang baik sahaja," jelas Zainal. -Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment