Tuesday, 10 September 2013

Cikai sangatkah orang Melayu?


Sepintas lalu, ia hanya satu pertanyaan. Tetapi saya percaya orang Melayu terutamanya bekas anak didik UiTM pasti melihat Twitter taiko DAP Perak ini sebagai satu provokasi yang seolah-olah mempersenda keupayaan pelajar Melayu.

Kita tahu, UiTM dikhususkan kepada orang Melayu dan bumiputera. Jadi, kenapa hendak bangkitkan isu perkauman? adakah Kor Ming bermaksud Melayu dalam UiTM itu tidak cerdik belaka sehingga ranking jatuh?

Apabila kaitkan dengan kerajaan BN, adakah Kor Ming bermaksud keputusan kerajaan membina UiTM untuk orang Melayu sebagai sesuatu kesilapan? Kenapa Kor Ming sakit hati sangat dengan UiTM ini?

Sejak lebih 57 tahun, UiTM sudah melahirkan puluhan ribu graduan cerdik pandai Melayu yang sukses dalam pelbagai bidang sehingga mereka boleh duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa lain di syarikat-syarikat besar dalam dan luar negara.

Sejarah pangjang UiTM (dahulu ITM) tidak pernah lekang daripada sikap skeptikal pemimpin seperti Kor Ming. Kedudukan UiTM sebagai antara simbol kedaulatan institusi Melayu sentiasa sahaja diserang dan dijadikan polemik berbaur perkauman.

Sepatutnya, sebelum hendak mengungkit soal kaum di UiTM, Kor Ming patut tanya kenapa perlu adanya sekolah aliran Cina di Malaysia? Kor Ming patut tanya kepada kumpulan Dong Zong yang bermati-matian menolak persekolahan satu sistem yang diperkenal kerajaan. Kita juga tahu ada sekolah aliran agama yang rata-ratanya menempatkan orang Melayu dan Islam, adakah itu juga sesuatu yang rasis?

Apabila QS World University Rankings melaporkan kejatuhan ranking enam universiti Malaysia, saya setuju kerajaan perlu melakukan tindakan tuntas dan segera memperbaiki keadaan, tetapi untuk mengaitkannya dengan perkauman apatah lagi UiTM, itu tidak boleh diterima akal!

Saya percaya, Kor Ming tahu mengenai beberapa kriteria utama penilaian kedudukan QS Wolrld University Rankings termasuk 'Keantarabangsaan Pelajar' dan 'Keantarabangsaan Tenaga Pengajar Fakulti'. Kriteria itu sudah jelas tidak memihak kepada UiTM kerana dasar UiTM sendiri menentukan bahawa hanya orang Melayu dan Bumiputera sahaja ditempatkan di universiti itu.

Saya percaya, kalau UiTM diumumkan dalam kedudukan No.1 dunia sekalipun, puak-puak ini akan menuduh UiTM sebagai rasis kerana hanya memberi peluang kepada orang Melayu untuk berjaya. 

Kor Ming dan rakan-rakannya dalam DAP dan Dong Zong perlu sedar bahawa toleransi dalam pendidikan sudah dipersetujui pimpinan antara kaum dalam kontrak sosial. Kontrak sosial itu membolehkan kaum Cina dan India memahami bahawa UiTM perlu diwujudkan untuk orang Melayu dan Bumiputera.

Kalau itu tidak boleh diterima, adakah Kor Ming menganggap kontrak sosial itu juga adalah perkauman?

No comments:

Post a Comment