FLORIDA – Seorang paderi Amerika Syarikat, Terry Jones yang pernah bertindak membakar kitab suci al-Quran sehingga mencetuskan keganasan di seluruh dunia, sekali lagi cuba mencetuskan kontoversi dan membangkitkan kemarahan umat Islam.
Kali ini dia bercadang membakar 2,998 buah kitab suci al- Quran sebagai memperingati ulang tahun ke-12 peristiwa serangan 11 September.
Namun belum sempat dia melaksanakan perbuatan kurang ajar itu, Jones telah ditangkap oleh pihak berkuasa bersama dengan pembantunya, Marvin Sapp Jr, 44.
Kedua-duanya ditahan di penjara Polk County.
Dalam pada itu, Mike Ghouse, yang menganjurkan upacara keagamaan bagi memperingati peristiwa 9/11 itu, telah bergabung dengan penduduk di Mulberry bagi menubuhkan laman facebook anti-Jones.
Dia yang sudah sembilan tahun melakukan upacara berkenaan di Texas, terpaksa membawa upacara tersebut ke Mulberry.
"Setiap orang mempunyai hak dan kepercayaan terhadap apa yang mereka percaya,'' katanya.
Sementara seorang penduduk di kawasan berkenaan pula berkata, mereka tidak mempercayai dengan apa yang Jones cuba lakukan.
Jones pertama kali mendapat liputan selepas dia merancang membakar al-Quran pada 2010, namun hanya melakukan perbuatan berkenaan pada bulan Mac 2011.
Tahun lepas, dia telah mempromosikan filem anti-Muslim dan semua tindakan yang dilakukannya itu telah mencetuskan kemarahan penduduk Islam di seluruh dunia.
Malah pada 2011, beratus-ratus penduduk di utara Afghanistan telah menyerbu pejabat Pertubuhan Bangsa Bersatu PBB hingga menyebabkan tujuh warga asing terbunuh disebabkan oleh perbuatan Jones itu.
No comments:
Post a Comment