Mengulas mengenai tindakan Ketua Syiah Kedah, Abdullah Hassan yang tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap beliau kerana didakwa mengeluarkan kenyataan mengelirukan berhubung Syiah, Syeikh Muhamad Baderudin berkata, beliau bersedia demi menegakkan syiar Islam.
“Jika mereka berhasrat ambil tindakan undang-undang terhadap saya, dipersilakan. Amanah saya untuk menegakkan kebenaran dan saya tidak gentar berdepan mana-mana pihak untuk menegakkan syiar Islam,” katanya.
Menurutnya, pihaknya bukan sengaja mahu membangkitkan isu Syiah, sebaliknya membangkitkan fatwa yang diwartakan, di mana sebahagian adalah kesalahan berkaitan dengan ajaran selain Sunnah Wal Jamaah.
“Jika ada ajaran lain selain Syiah, juga akan diambil tindakan kerana ia suatu kesalahan. Pindaan yang kita buat adalah pelanggaran fatwa yang diwartakan, agar tindakan boleh diambil,” katanya.
Ditanya sama ada beliau bersedia bersemuka dengan pengikut Syiah untuk memperjelas pertikaian dibangkitkan golongan minoriti itu, Syeikh Muhamad Baderudin berkata, ia perlu bersyarat.
“Jika mereka mahu bersemuka untuk dapatkan kebenaran, tiada masalah. Tetapi jika mereka mahu pertahan pendirian, tidak perlu kerana saya percaya jika kita berdakwah sekalipun, mereka tetap dengan fahaman itu, seperti pernah berlaku di Perak sebelum ini,” katanya.
Mengulas amaran keras yang dikeluarkan golongan Syiah di Kedah, yang tidak menolak kemungkinan membukukan penulisan lebih 500 halaman berhubung fahaman itu yang tidak diterbitkan.
Syeikh Muhamad Baderudin berkata, tindakan boleh diambil jika dijadikan bahan bercetak bawah enakmen terbabit.
“Jika dibukukan penulisan berkenaan, bermakna ia satu kesalahan bawah enakmen dan tindakan boleh diambil berdasarkan peruntukan sedia ada,” katanya.
Mengulas perkembangan penguatkuasaan enakmen diluluskan Ogos lalu, Syeikh Muhamad Baderudin berkata, beberapa perkara bawah enakmen itu sedang diperhalusi untuk lebih terperinci.
“Beberapa perkara sedang diperelok untuk lebih penjelasan. Jabatan Mufti sedang memperhalusi proses itu sebelum serah kepada Pejabat Penasihat Undang-Undang bagi tindakan lanjut,” katanya
No comments:
Post a Comment