Wednesday, 4 September 2013

Nahas bas: Siasatan di peringkat akhir


Nahas bas: Siasatan di peringkat akhir
KUANTAN – Proses siasatan kemalangan bas ulang-alik yang terjunam ke dalam gaung di kilometer 3.5 Jalan Genting Highlands – Karak yang mengorbankan 37 nyawa, 21 Ogos lalu kini dalam peringkat akhir dan akan disiapkan dalam tempoh terdekat.

Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Ab Ghani berkata, pihaknya sudah dalam tempoh terakhir mengumpul maklumat untuk mengetahui punca kejadian.

“Walaupun mangsa sudah stabil tetapi kami masih lagi menunggu keadaan mereka lebih tenang untuk disoal siat mengenai peristiwa tersebut dan sekali gus dapat melengkapi proses siasatan,” katanya pada sidang media di Majlis Jamuan Hari Raya Gabungan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dekat sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Staff Tadbir Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Wilayah Laut 1, Komander Jalal Karis; Panglima 4 Briged Mekanis, Brigedier Jeneral Datuk Abdul Rahim Abd Mutalib dan Komander Panglima Udara Kuantan, Brigedier Jeneral Datuk Mohammad Salleh Osman.

Sharifuddin berkata, hanya tinggal tiga mayat mangsa warga asing yang masih belum dituntut.

 “Dua mayat seorang lelaki dan seorang wanita merupakan warganegara Thailand dan seorang lagi mayat lelaki dipercayai warga Nigeria.

“Kami sudah berhubung dengan kedutaan dan masih mencari waris terdekat yang ada di sini untuk menguruskan proses pengebumian mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment