Monday, 23 September 2013

Sedih dengan sikap Melayu, semua nak free

Hampir separuh penghuni di setiap blok Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah Fasa Dua di Bukit Jalil kini berdepan dengan kemungkinan terpaksa meninggalkan rumah masing-masing kerana gagal menjelaskan tunggakan sewa.

Malah, ketika ini mereka sudah pun berdepan dengan kepayahan apabila bekalan air ke rumah mereka didakwa telah diputuskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Khamis lalu akibat gagal menjelaskan tunggakan bil air.

Menurut penduduk, mereka telah mendapat notis amaran daripada DBKL yang memberi tempoh 14 hari bermula Khamis lalu untuk menjelaskan kedua-dua bayaran tertunggak itu, tetapi agak mustahil untuk dilakukan kerana jumlahnya mencecah ribuan ringgit.

Akibat ketiadaan bekalan air ke rumah masing-masing, penduduk terlibat berkata mereka terpaksa mendapatkan air dari sumber yang tidak dapat dipastikan tahap kebersihannya selain menerima pertolongan daripada jiran dan saudara-mara.

Sehubungan itu, penduduk yang kebanyakannya golongan susah itu merayu kepada pihak DBKL supaya mengkaji semula tindakan tersebut selepas memberi notis singkat kepada penduduk.

Seorang suri rumah, Sharifah Sharip, 31, mendakwa, dia menerima notis tersebut pada Khamis lalu daripada DBKL.

"Masa terlalu singkat, mana kami nak cari duit untuk bayar tunggakan sebanyak RM4,688 kerana kebanyakan keluarga di sini mengalami masalah kewangan.

"Mereka juga tidak membenarkan kami untuk menjelaskan separuh bil tertunggak. Saya berharap pihak DBKL dapat berbincang dan bertolak ansur dengan kami dalam hal ini," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui.

Ibunya, Maimunah Abdullah, 56, yang menghuni di blok lain berkata, dia kini sedang menjaga suaminya yang uzur selain enam orang anak yang masih bersekolah sehingga membuatkan wangnya tidak cukup untuk menjelaskan bil-bil itu

"Saya turut mengalami tunggakan sewa dan bekalan air. Kami juga hairan kenapa jumlah bayaran untuk bil air begitu tinggi sedangkan kadar rata yang ditetapkan adalah sebanyak RM25 sebulan.

"Pihak DBKL juga meminta kami menjelaskan sepenuhnya bayaran tersebut atau kami diminta keluar dari rumah ini. Minggu lalu, pihak DBKL terus mengunci paip meter air rumah saya tanpa mengadakan perbincangan terlebih dahulu," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk yang menghuni di tingkat enam, Blok G, Norazizan Ya'acob, 42, mengalami nasib malang selepas paip air di luar rumahnya bocor sejak sebulan lalu.

"Saya telah membuat aduan mengenai perkara ini di Pejabat Kecil DBKL di PPR Kampung Muhibbah Fasa Dua dekat sini, namun tiada tindakan susulan diambil oleh pihak itu.

"Kami amat kecewa seolah-olah mereka tidak mahu mengambil tahu mengenai permasalahan kami. Sehingga kini, air terus mengalir keluar selain menyebabkan pembaziran," ujarnya.

SIKIT KOMEN TM,

Inilah masalah orang kita, kerajaan sedia rumah dengan kadar sewa yang rendah pun malas nak bayar, bil air tertunggak. Tetapi motosikal, kereta, astro boleh pula tanggung. Bila DBKL offer rumah dengan kadar harga rendah untuk mereka menambah aset pun tak mahu     terima, alangkah ruginya mereka, kalau boleh nak duduk free tujuh keturunan, inilah sikap yang merugikan bangsa sendiri.

Bila DBKL kunci meter air pandai pula cari orang surat khabar, mengadu, menangis, bagi seribu alasan, kaki sakit lah, untutlah, macam macam alasan.

No comments:

Post a Comment