Wednesday, 9 October 2013

Hishammuddin nafi dia lelaki lembut??



Kota Bharu: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, terkilan apabila ada pihak yang menyifatkannya ‘lembut’ dalam menangani isu pencerobohan di Lahad Datu, Sabah, yang mengorbankan beberapa anggota keselamatan, Februari lalu. 

Katanya, apa yang dilakukannya dalam menangani isu keselamatan di kawasan itu adalah berdasarkan kepada tanggungjawab yang diamanahkan bagi menjamin keselamatan agama, bangsa dan negara. Malah, beliau berkata, ketika kejadian pencerobohan pengganas itu, masyarakat yang tinggal di kawasan berkenaan terutama keturunan Sulu menjadi takut sehingga hendak meninggalkan kediaman mereka. 


Beri penjelasan sebenar 

“Namun, saya dengan bantuan teman di Sabah berusaha memberi penjelasan sebenar, sekali gus memberi keyakinan mereka terus kekal di situ. 

“Negara sentiasa berusaha memastikan keselamatan rakyatnya dan kini kawasan berkenaan sudah selamat, sekali gus membuktikan tiada siapa yang berlembut dalam menangani isu menjaga keamanan negara. 

“Saya dituduh dengan pelbagai perkara, namun dalam hal yang berkaitan dengan keselamatan negara selain parti, saya tidak pernah lembut kerana yakin berada di landasan yang betul,” katanya pada majlis Kedaulatan, Keselamatan dan Kesejahteraan Negara, di sini, malam kelmarin. 
Turut hadir, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Kaprawi; Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Noor Zahidi Omar dan Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub. 

Hishammuddin yang juga Pemangku Menteri Pengangkutan berkata, sebelum ini beliau dituduh sebagai penakut apabila dikatakan mencari kawasan selamat bagi memastikan kemenangan dalam pilihan raya umum lalu. 

“Orang kata saya mencari tempat selamat dari Pengerang ke Muar, namun saya tetap bertanding di Semberong, sekali gus mencipta kejayaan besar di situ dan tetap yakin apa yang dilakukan itu adalah yang terbaik,” katanya. 

Berjuang demi UMNO 

Beliau berkata, sejarah perjuangan UMNO kini bagaikan diambil alih oleh beliau sebagai cucu Onn Jaafar yang juga pengasas UMNO serta pejuang kemerdekaan Malaya dan tindakan itu adalah semata-mata untuk selamatkan anak bangsa serta kesucian agama Islam. 

“Walaupun datuk saya (Onn Jaafar) dicemuh pihak tertentu sebagai penderhaka, namun beliau tetap juga memikul tanggungjawab dalam memastikan anak bangsa selamat. Saya meneruskan kesinambungannya dan bukan hendak menjadi popular,” katanya. 

No comments:

Post a Comment