MELAKA: Nak cakap salah, tak cakap pun salah. Inilah nasib kad-kad calon yang bertanding dalam pemilihan agung UMNO yang kini masih dalam minggu berkempen. Belum pun berakhir, namun kad-kad yang dicetak calon sudah sampai ke penghujungnya iaitu ke dalam longkang.
Seorang calon memaklumkan telah mencetak sebanyak 40,000 kad yang tertera nama dan gambarnya. Katanya, dia sendiri tidak banyak menyimpan kad tersebut sebaliknya diserahkan kepada wakil-wakilnya untuk diedarkan kepada perwakilan.
Bukannya kad-kad tersebut pasti sampai ke tangan perwakilan walaupun tidak semua tetapi akibat terlalu banyak, kad-kad yang diterima akhirnya ditinggalkan di merata tempat. Ada yang di atas meja, ada yang di atas lantai. Tidak keterlaluan kalau dikatakan di mana sahaja berlangsungnya majlis memperkenalkan calon, lambakan kad-kad calon tidak dapat dibendung!
Itu yang terlihat di dalam dewan. Belum lagi yang bertaburan di atas jalan raya di luar dewan.
Bagi tujuan pembersihan, syarikat yang bertindak membersihkan kawasan terpaksalah mengutip semua kad-kad yang bersepah untuk dibuang.
Bila ditanya beberapa penerima kad sama ada perwakilan atau bukan, masing-masing memberi jawapan senada. “Simpan nak buat apa? Buat kenangan? Bukan kami minta kad-kad ini tetapi diberi oleh wakil calon”.
Paling menarik, ada perwakilan yang berkata,”kad tidak membawa erti apa-apa melainkan sekadar ingatan. Kami sebenarnya mahu bertemu calon,” kata mereka.
Apapun, kad mesti dihabiskan sebelum hari pemilihan. Sempat atau tidak bukan lagi persoalan kerana yang pentig, kad di tangan mensti dihabiskan. – MalaysiaGazette.
No comments:
Post a Comment