Tuesday, 29 October 2013

Pengurus Besar Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) Yang Maut Dalam Kemalangan


Dungun – Pengurus Besar Projek Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Fasa 2, Rusli Embok, sempat mengimamkan solat Maghrib, sebelum maut dalam kemalangan tiga kenderaan di Jalan Jerangau-Jabor dekat Ladang Gajah Mati di sini, malam kelmarin.

Dalam kemalangan jam 7.25 malam itu, Rusli, 55, bersama pemandunya, Mohamad Zuki Ngah, 44, yang menaiki Mitsubishi Pajero Sport, merempuh bahagian belakang sebuah treler rosak yang berhenti di tengah jalan di laluan itu.

Putus tangan kiri

Mangsa yang berasal dari Pasir Panjang, Terengganu, putus tangan kiri serta cedera parah di kepala, sebelum disahkan mati di lokasi.

Pemandunya yang turut cedera di kepala, dikejarkan ke Hospital Dungun, sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut dan dilaporkan stabil.

Ketua Polis Daerah Dungun, Pemangku Superintendan Ahmad Zailani Yaacub, berkata selepas merempuh belakang treler, pacuan empat roda itu berpusing dan terbabas memasuki laluan bertentangan sebelum dirempuh Honda City dari arah bertentangan.

“Pemandu Honda City, Hamdan Abdul Hamid, 62, dari Gurun, Kedah, dalam perjalanan menghantar anaknya, Nor Syahazrina, 26, yang juga jurutera PETRONAS menghadiri seminar di Hotel Awana Kijal, Kemaman, terselamat.

“Pemandu treler terbabit, Che Mohd Ramli Mohamad, 62, dari Gua Musang, dalam perjalanan pulang ke Gua Musang selepas menghantar bijih besi ke Pelabuhan Kuantan, terselamat,” katanya.

Ahmad Zailani berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Dungun untuk bedah siasat, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Konvoi lawat tapak projek

Sementara itu, rakan setugas arwah, Md Abdul Rahman Embong, 45, berkata sebelum kejadian mereka menyertai konvoi 20 kenderaan bersama Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Mohd Shafiq Abdullah, yang melakukan lawatan ke tapak pembinaan LPT dari Kuala Terengganu ke Cheneh, Kemaman.

“Selepas selesai melawat projek pembinaan terakhir Fasa 1C di Cheneh, Kemaman, masing-masing bertolak pulang ke Kuala Terengganu. Saya bersama arwah serta beberapa rakan lain bertolak agak lewat kerana arwah mahu bersolat Maghrib terlebih dahulu.

“Kami berlima menunaikan solat di pejabat tapak di situ dengan diimamkan arwah. Selesai solat, saya menaiki kereta lain untuk pulang, manakala arwah bersama pemandunya mengekori di belakang,” katanya.

image

Awak Makan Dulu

“Awak makan dulu, walid balik lambat hari ini,” itu antara kandungan khidmat pesanan ringkas (SMS) terakhir yang sempat dihantar Rusli kepada isterinya, Norma Abdul Rahman, 52, sebelum terbabit dalam nahas.

Norma berkata, SMS itu adalah yang terakhir diterimanya kira-kira jam 7 petang, sebelum dikhabarkan berita kematiannya pada hari sama.

“Tengah hari sebelum kejadian pun, arwah ada menelefon saya, ketika itu dia sudah berada di Dungun. Arwah pesan supaya saya tidak lupa makan ubat sebab saya kurang sihat.

“Kehilangan arwah sangat dirasai ahli keluarga kerana dia seorang yang penyayang dan terlalu mengambil berat soal anak-anak,” katanya yang mengajar di Kolej Vokasional Wakaf Tembusu, di sini.

Menurut Norma yang masih bersedih di atas apa yang berlaku, setiap pagi, sebelum dia ke sekolah, arwah selalu bawakan beg serta barang-barangnya dan diletakkan di dalam kereta sambil mengiringinya sehingga ke pintu kereta.

“Tetapi pada hari kejadian, arwah hanya meletakkan barang-barang saya ke dalam kereta dan kemudiannya duduk di hadapan televisyen sambil menonton rancangan agama kegemarannya.

“Pada pagi itu, arwah tidak mengekori saya sehingga ke pintu kereta, sebaliknya saya bersalam dengannya di dalam rumah sahaja sebelum keluar ke tempat kerja,” katanya.

Norma tidak mengesyaki perkara pelik yang akan terjadi kerana dia sendiri mengetahui bahawa arwah memang suka menonton rancangan agama itu.

Sementara itu, adik ipar arwah, Ramli Abdul Rahman, 38, berkata, kali terakhir dia berjumpa arwah pada Hari Raya Aidiladha yang lalu.

“Ketika perjumpaan keluarga itu, arwah kelihatan sangat gembira, sehari sebelum menyambut Aidiladha dia berpuasa, dan ketika berbuka puasa, arwah nampak begitu berselera menjamu masakan ketam yang disediakan.

“Arwah memang seorang yang sangat disenangi ahli keluarga serta sanak saudara kerana kami selalu berhubung di antara satu sama lain,” katanya.

Manakala biras arwah, Dr Zulkifli Mohd Yusoff, 50, berkata, berita kematian arwah sangat mengejutkannya kerana baru sahaja berjumpa dua minggu lepas.

“Sejak dahulu lagi, arwah memang baik dengan semua orang dan saya perasan sejak kebelakangan ini, dia terlalu rapat dengan kami semua (saudara-mara), kehilangannya memang amat dirasai,” katanya.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kecil, Jalan Panji Alam, Kuala Terengganu kira-kira jam 12 tengah hari.






No comments:

Post a Comment