Tuesday, 1 October 2013
Rakyat juga hak untuk rasa selamat!
Secara umum, undang-undang Ordinan Darurat (EO) dan Akta Keselamatan Negeri (ISA) berfungsi sebagai langkah pencegahan jenayah yang membenarkan polis menahan suspek tanpa dibicara khususnya dengan menumpukan kepada aktiviti jenayah terancang.
Pemimpin dan aktivis pembangkang menghentam kerajaan berhubung kedua-dua akta tersebut yang dikatakan menjadi 'senjata' untuk menahan orang politik selain didakwa tidak demokratik dan bertentangan dengan prinsip hak asasi manusia.
Pada 2009, kerajaan DS Najib membuat keputusan mengejut memansuhkan ISA dan EO. Pembangkang pun bersorak dan menganggapnya sebagai 'kejayaan bersejarah'. Rata-rata NGO serta aktivis anti jenayah pula melihatnya sebagai langkah yang terlalu drastik dan cukup berisiko.
Susulan pemansuhan itu, 2,473 suspek jenayah berat di Penjara Simpang Renggam dibebaskan pada Julai tahun lalu. Berdasarkan laporan PDRM, penjenayah yang dibebaskan ini pula dipercayai membina semula pengaruh kongsi-kongsi gelap dengan menjalin hubungan dengan ketua-ketua kumpulan. Jumlah ahli rangkaian kumpulan-kumpulan itu kini dianggarkan mencecah 40,000 orang.
Rentetan itu, bermulalah episod tembak menembak antara pemimpin dan ahli kongsi gelap sehingga menggemparkan negara. Dalam kes-kes tertentu, pegawai penguatkuasa juga menjadi mangsa. Kes melibatkan pembunuh upahan juga terus berleluasa.
Dalam tempoh empat bulan iaitu April hingga Julai tahun ini, 31 kes tembak menembak dilaporkan di seluruh negara ini dan mengorbankan 22 nyawa. Kajian Penang Institute pula menunjukkan secara purata, dua kes tembak bunuh berlaku dua kali seminggu sepanjang tempoh tersebut - mencerminkan betapa penjenayah kekerasan ibarat berpesta melakukan pembunuhan.
Sebuah akhbar dari Singapura (negara yang masih mengekalkan ISA hingga hari ini) pernah menyindir Malaysia dengan berita bertajuk "Welcome to Malaysia where death is cheap and staying alive is costly".
Lantaran episod kes tembak yang menjadi-jadi, pembangkang menghentam pula kerajaan kerana dikatakan gagal tangani jenayah. PDRM pula dikatakan 'tidur' dan tidak buat apa-apa.
Apabila PDRM bertindak tegas melancarkan Ops Cantas dengan menembak kumpulan penjenayah bersenjata, dikatakan pula polis kejam, zalim dan membunuh orang sesuka hati.
Tiba-tiba sang penjenayah pula dijulang dan dibela. Suspek penjenayah yang ditembak mati diangkat seperti wira, upacara pengkebumian mereka diiringi kibaran poster-poster dan kain rentang tertera logo kongsi gelap - sesuatu yang tidak pernah terjadi sebelum ini.
Apabila kerajaan membentangkan Akta Pencegahan Jenayah (PCA) dan mahu memindanya bagi membolehkan polis menahan suspek tanpa bicara untuk mengekang ketua dan ahli kumpulan penjenayah, sekali lagi pembangkang buat bising menghentam kerajaan. Dikatakan pula ia adalah cubaan kerajaan untuk mengembalikan semula EO dan ISA.
PCA tak mungkin sama dengan ISA atau EO kerana suspek yang ditahan boleh membuat semakan di mahkamah. Melalui PCA, menteri tiada kuasa untuk menandatangani surat penahanan suspek seperti ISA dan EO. Kerajaan juga menegaskan, PCA disasarkan kepada penjenayah, bukan ahli politik. Tetapi nampaknya jaminan itu belum cukup untuk memuaskan hati pembangkang.
Mudah kata, apa juga yang kerajaan dan PDRM buat untuk menjamin keselamatan semuanya tidak kena. Semuanya tidak demokratik. Semuanya menindas rakyat. Semuanya berbaur politik.
PCA untuk penjenayah. Kalau pemimpin pembangkang memang bercita-cita hendak menjadi penjenayah, itu mungkin satu isu. Tapi kalau pemimpin pembangkang rasakan diri bukan penjenayah, apa yang hendak kalut sangat?
Malah, jika pembangkang berdegar-degar mahu menolak PCA semata-mata dengan alasan memperjuangkan hak asasi ketika 40,000 penjenayah termasuk kongsi gelap sedang ligat berkeliaran, bagaimana pula dengan 20 juta lagi rakyat Malaysia yang juga punya hak untuk menikmati keamanan?
Rakyat pun ada hak juga!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment