Tuesday, 13 May 2014

Apa sudahnya krisis politik Terengganu?

PADA PRU 1999, kerajaan BN jatuh kepada Pas. Ketika itu, Pas mempunyai 28 kerusi manakala BN hanya ada 4.

Pada PRU 2004, BN yang dipimpin Datuk Idris Jusoh merampas semula Terengganu. Program Gelombang Biru membadai Pas ketika itu apabila kelebihan 28 kerusi kembali kepada BN.

PRU 2008 yang menyaksikan 'Tsunami Politik' dengan BN hilang empat negeri - Penang, Kedah, Perak dan Selangor - namun Terengganu terselamat dengan hanya kehilangan empat kerusi yang dimenangi pada PRU 2004.

Ketika itu, Idris Jusoh diketepikan dan digantikan dengan Dato Ahmad Said. Dengan perpecahan serius dan berantakan sesama pemimpin UMNO ketika itu amat membimbangkan. Cabaran di bahu Ahmad Said cukup berat untuk menyatukan semula UMNO.

Namun, pergeseran dalam UMNO Terengganu berterusan - sesuatu yang dianggap kegagalan kepimpinan Ahmad Said. Natijahnya bukan kecil, Pada PRU 2013, prestasi BN Terengganu makin merudum dengan majoriti tipis (mudah) di DUN Terengganu. BN (17) Pas (14) dan 1 (PKR). Kesimpulan pendek boleh dibuat bahawa, Ahmad Said gagal.

Difahamkan, sebelum ini sudah gesaan supaya Ahmad Said berundur namun, beliau meminta untuk ditangguhkan. Maka ada perjanjian antara Dato Ahmad Said dengan Presiden, Najib Razak bahawa beliau akan berundur dalam tempoh satu tahun. Kini tempohnya sudah tiba. Tetapi lihatlah bagaimana ia berakhir.

UMNO Terengganu makin berantakan dengan pelantikan MB baru, Ahmad Razif. Pergeseran terus memuncak bila Ahmad Said bertindak keluar UMNO diikuti dua lagi ADUN UMNO. Kuasa politik BN ibarat telur di hujung tanduk. Nasib rakyat jadi taruhan. Pembangkang pula mula mengintai peluang.

Satu Malaysia bercakap soal Ahmad Said teraniaya, ada juga bertanya, apa salahnya tunggu 3 hari lagi sementara menunggu anak Ahmad Said melangsungkan perkahwinan. Ada juga berhujah, Najib kena firm atau tegas, perjanjian adalah perjanjian. UMNO Terengganu mesti 'dibetulkan' segera.

Kalau benar ada perjanjian, Ahmad Said sepatutnya sedar mengenainya. Kenapa sudah tahu waktunya sudah tiba untuk berundur, maka tarikh perkahwinan anak diatur sedemikian? Adakah ia dijadikan satu lagi alasan supaya pengundurannya ditangguhkan sama seperti selepas PRU-13 lalu?

Setakat ini, Ahmad Said dan rakan-rakan walaupun sudah menjadi wakil rakyat Bebas masih menyokong kerajaan. Bermakna, BN masih boleh bertapak di Terengganu. Jika mereka bertindak lebih jauh dengan menyokong PR, maka PRK Negeri akan berlaku.

Jika ada PRK, maka rakyat Terengganu yang bermajoriti orang Melayu itu akan diheret dalam satu lagi pilihan raya.

No comments:

Post a Comment