Sejumlah 61 keluarga yang dikenalpasti tinggal di sepanjang kawasan Sungai Kerian dijangka akan dipindahkan ke penempatan baru untuk memberi laluan kepada perlaksanaan projek tebatan banjir di daerah Kerian yang sedang berjalan sekarang.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, daripada taklimat Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) yang beliau terima, perpindahan ini bertujuan menyelamatkan keluarga berkenaan daripada terdedah kepada bahaya ancaman banjir di masa depan.
Katanya, kerajaan negeri akan merayu kepada Kerajaan Persekutuan supaya mengutamakan kepentingan keluarga terbabit dalam Menyelesaikan permasalahan mereka semasa melaksanakan projek tebatan banjir itu.
"Ini penting kerana kesemua keluarga terbabit telah menetap sekian lama di kawasan tanah sepanjang Sungai Kerian terutama di kawasan Parit Buntar dan mereka berhak untuk mendapat kawasan penempatan baru yang lebih selesa,’’ katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di pejabatnya di Bangunan Perak Daruk Ridzuan, Ipoh hari ini.
Menurut Dr Zambry, beliau difahamkan 61 keluarga terbabit telah menetap di tanah rizab JPS sepanjang Sungai Kerian sejak sekian sekian lama.
"Apapun kerajaan sedang melihat perkara ini dan kalau sekiranya berlaku perpindahan, kerajaan negeri akan berusaha memindahkan mereka di tapak baru di kawasan yang sesuai bagi mereka,’’ katanya.
Sehubungan itu beliau berharap projek tebatan banjir bernilai lebih setengah billion itu akan dapat disiapkan mengikut tarikh yang ditetapkan dan sekaligus dapat menyelesaikan masalah banjir di daerah tersebut.
No comments:
Post a Comment