Wednesday, 21 August 2013

1.7 Juta Individu Bakal Dibatal Lesen Memandu

Seramai 1.7 juta individu yang disenaraihitamkan kerana degil membayar saman trafik bakal berdepan tindakan lesen memandu dibatalkan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

 

Beliau berkata tindakan itu akan ditumpukan terhadap penunggang motosikal dan pemilik kenderaan komersil yang banyak menyumbang kepada jumlah kemalangan maut pada Op Selamat III sempena Aidilfitri baru-baru ini.

 

"Kami mensasarkan penunggang motosikal dan pemilik kenderaan komersil terlebih dahulu berikutan peningkatan jumlah kemalangan maut dalam Ops Selamat III (membabitkan mereka)," katanya.

 

Beliau berkata polis akan mencadangkan undang-undang dipinda segera bagi membolehkan tindakan itu diambil dengan secepat mungkin.

 

Khalid berkata mereka yang telah disenarai hitam dan juga mempunyai saman tertunggak dinasihatkan membayar saman mereka bagi mengelakkan tindakan itu.

 

"Kami juga akan mengambil penguatkuasaan yang lebih agresif khususnya terhadap mereka memandu laju, melanggar lampu isyarat dan memotong dua garisan berkembar, jadi, esok jangan salahkan polis kerana mendapat saman," katanya.

No comments:

Post a Comment