Saturday, 24 August 2013

Anggota MALBATT Maut Dalam Kemalangan di Lebanon


Seorang anggota pasukan Batalion Malaysia 5 (MALBATT 5) berpangkat Sarjan, yang menyertai misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (Unifil), maut apabila kenderaan kembalik yang dinaiki hilang kawalan dan terhumban lima belas meter ke dalam cerun.

Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata nahas pada kira-kira 5.40 petang semalam waktu tempatan (10.40 malam waktu Malaysia) itu meragut nyawa Sarjan Rosdi Mohamad Zan, 32.

Nahas berlaku apabila kenderaan kembalik yang dinaiki Allahyarham selaku ketua kenderaan bersama dua yang lain, terbalik ketika menunda kenderaan perisai Condor di satu selekoh di kawasan operasi berhampiran Bandar Houla.

Insiden itu turut menyebabkan dua lagi cedera ialah pemandu Lans Koperal Nur Syahied Taib dan pengiring Lans Koperal Mohamad Aizuwan Atan, kedua-duanya berusia 26 tahun.

"Kemalangan berlaku semasa anggota sedang melaksanakan konvoi pergerakan pertukaran Kumpulan Force Protection (FP) dari Kem Kawkaba ke Kem Tibnin," kata Zulkifeli.

Konvoi pergerakan Kumpulan FP itu melibatkan 41 anggota dan lapan kenderaan tentera pelbagai jenis.

"Allahyarham Rosdi meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua anggota yang cedera telah dibawa ke hospital tempatan," kata Zulkifeli.

Nur Syahied yang cedera parah kini dirawat di Hospital Saint George di Beirut manakala Mohamad Aizuwan dimasukkan ke Hospital Tibnin.

Zulkifeli berkata Rosdi, yang berasal dari Jerantut, Pahang meninggalkan seorang balu Aliza Ariffin serta tiga anak, iaitu seorang lelaki berusia lapan tahun dan dua perempuan berumur enam dan tiga tahun.

"Jenazah akan diuruskan MALBATT 5 untuk dibawa pulang ke Malaysia dan dijangka tiba di tanah air pada Isnin, sebelum disemadikan di kampung halaman isterinya di Ipoh," katanya.

No comments:

Post a Comment