Seorang kanak-kanak lelaki Melayu berusia lingkungan tiga tahun dipercayai telah ditinggalkan bapanya di depan kaunter pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kinta.
Kanak-kanak lelaki yang hanya dikenali dengan Saiful memakai baju sukan bola Chelsea, kata Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kinta, Mohd Mahir Mohd Tahir.
Katanya berdasarkan rakaman CCTV di pejabat itu, kanak-kanak tersebut telah dibawa masuk seorang lelaki dipercayai bapanya ke kaunter JKM di tingkat satu lebih kurang 9.00 pagi, semalam.
Lelaki itu kemudiannya dilihat mengarahkan anak kecil itu duduk di sofa sementara dia keluar menjawab panggilan kerana telefon bimbitnya berbunyi.
“Lelaki tersebut keluar dan menjawab telefon, tetapi lebih kurang 10 minit lelaki tersebut tidak muncul kembali, apabila kami melihat kembali rakaman CCTV lelaki tersebut telah pun beredar keluar melalui pintu bangunan,” katanya.
Menurutnya pihak JKM telah membuat laporan polis pada jam 10 pagi semalam dan kemudian kanak-kanak tersebut dibawa ke mahkamah untuk tindakan lanjut.
“Mahkamah telah membenarkan sidang media dibuat bagi menolong anak kecil ini mencari bapanya, dan sehingga kini pihak kami masih belum dapat sebarang maklumat lanjut mengapa lelaki itu meninggalkan dia di sini,” tambahnya.
Katanya, Saiful tidak berasa takut serta mudah dijaga oleh pihak JKM.
“Saiful kini diletakkan di bawah jagaan pusat perlindungan JKM di Kuala Kangsar,” katanya.
Mohd Mahir meminta orang ramai tidak membuat spekulasi punca anak kecil itu ditinggalkan tetapi mahu mereka menyalurkan maklumat supaya anak kecil malang itu dapat disatukan dengan keluarganya secepat mungkin.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta hubungi JKM di talian 05-2418825 atau hubungi terus pegawai JKM Mohd Mahir Mohd Tahir ditalian 019-3291176.
No comments:
Post a Comment