Tuesday, 27 August 2013

Belanja RM25 Juta Untuk Atasi Kesesakan

Kesesakan jalanraya di bandaraya Ipoh terutamanya ketika musim perayaan akan dapat diatasi dengan cadangan kerajaan Negeri Perak membina jalan baru tidak lama lagi. 

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata jalan sepanjang dua kilometer yang akan menelan belanja RM25 juta akan menghubungkan jalan susur keluar lebuhraya ke persimpangan jalan Jelapang-Lumut. 

Katanya satu kajian telah dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya dan Majlis Bandaraya Ipoh untuk mengatasi kesesakan jalan di bawah jejambat pertama masuk ke Ipoh akan dapat dielakkan.

Selain itu untuk menambah baik kesesakan lalulintas di Ipoh, kerajaan juga akan mewujudkan beberapa persimpangan berlampu isyarat antaranya di persimpangan jalan Kampung Ahmad Said berhadapan Balai Polis Jelapang, katanya. 

Katanya beberapa jalan sedia ada juga akan dilebarkan seperti persimpangan Ipoh- Lumut ke Balai Polis Jelapang.

"JKR dan MBI juga sedang mengkaji sistem letak kereta di bandaraya Ipoh yang agak kurang teratur ketika ini bagi tujuan melancarkan perjalanan lalu lintas. Sistem letak kereta yang tidak teratur ini menggangu perjalanan lalu lintas," katanya.

Beliau menjawab soalan lisan dari Teh Hock Ke (PR-Jelapang) ketika sidang DUN Perak ke 13. 

Selain dari itu, kerajaan negeri juga telah memberi subsidi sebanyak RM495,000 kepada syarikat Red Omnibus Sdn Bhd yang beroperasi di Kuala Kurau.

Katanya bantuan itu bagi membolehkan syarikat terus memyediakan perkhidmatan bas kepada penduduk Kerian.

"Saya menasihatkan syarikat untuk mendapatkan bantuan terus daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi memastikan perkhidmatan bas ini dapat diteruskan," katanya.


No comments:

Post a Comment