Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir hari ini melahirkan rasa ‘simpati’ atas strategi politik Setiausaha DAP, Nga Kor Ming yang memilih memainkan sentimen perkauman untuk menjadi popular.
Sambil mengucapkan selamat berjaya buat Nga, Dr Zambry berkata beliau memilih tidak mahu mengulas panjang mengenainya kerana ianya merupakan sesuatu yang tidak sihat untuk dilakukan.
Beliau juga mahu mengelak daripada terjerumus dengan taktik politik pembangkang yang mahu mengheretnya membuat kenyataan balas supaya akhirnya Menteri Besar digambarkan sebagai seorang yang rasis.
Saya tidak faham bagaimana dia (Nga) boleh tafsir perasaan dan hati saya dengan membuat rumusan saya tidak ikhlas.
Tetapi saya tahu apa yang cuba mereka buat kerana mereka tahu selama ini saya tidak pernah buat apa-apa kenyataan yang bersifat rasis. Mereka nakkan saya jawab supaya cita-cita mereka untuk memburukkan imej sebagai pemimpin yang amat teruk berjaya.
Saya tak suruh dia (Nga) berhenti (daripada buat kenyataaan rasis) tetapi saya ucapan selamat berjaya kepada dia dalam mencapai cita-cita politiknya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri rumah terbuka Hari Raya Perbadanan Pertanian Negeri Perak (SADC), petang tadi.
Dr Zambry diminta mengulas kenyataan Nga yang disiarkan dalam akhbar berbahasa Cina yang memetiknya sebagai berkata bahawa kerajaan Barisan Nasional tidak ikhlas berhubung pendidikan anak-anak kaum Cina.
Nga membuat kenyataan itu bagi menepis kenyataan Dr Zambry yang melabelkan Nga sebagai rasis dengan menfitnah Dr Zambry sebagai membalas dendam kepada masyarakat Cina berhubung isu pembayaran cukai tanah kepada sembilan sekolah persendirian Cina di negeri ini.
Menurut Menteri Besar lagi cara Nga mempertahankan kenyataan itu sudah cukup membuktikan bahawa pemimpin DAP itu benar-benar pemimpin rasis.
“Kalau itulah jalan yang dia nak ambil, kita tak boleh halang. Kalau anda nak jadi pemimpin paling popular di bumi ini dengan cara itu, dipersilakan,” katanya.
Katanya Nga mengamalkan pendekatan politik yang tidak sihat dan ianya boleh bawa kehancuran kepada negara sekiranya setiap pemimpin bertindak membuat perkara sama.
“Bayangkan sekiranya saya juga begitu. Sebelum ini orang kata Dr Zambry bukan pejuang Melayu kerana beri tanah lebih kepada sekolah Cina dan sekolah agama Islam dapat sedikit. Kaum India juga suarakan tidak puas hati mereka. Kalau saya ambil pendekatan seperti Nga, bayangkan apa akan berlaku kepada negara ini,” katanya.
Menurutnya lagi sebagai pemimpin beliau sedar akan tanggungjawabnya untuk tidak bermain dengan sentimen perkauman kerana ianya adalah sesuatu yang bahaya dan boleh mendatangkan kesan yang tidak baik.
Dr Zambry turut menemplak media berbahasa Cina yang amat jelas mempamerkan agenda politik mereka dengan memberi liputan besar-besaran kenyataan-kenyataan rasis Nga.
Ya..saya tidak salahkan sesiapa…tapi jangan ingat saya tidak tahu apa yang anda laporkan. Saya juga tak sekat (nak buat laporan) tetapi berlaku adilah kepada saya dengan menyiarkan sepenuhnya kenyataan-kenyataan saya,” katanya.
No comments:
Post a Comment