Wednesday, 14 August 2013

Dr Zambry Nafi Takut Untuk Bertanding
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyangkal dakwaan bahawa beliau tidak berani atau takut untuk bertanding merebut jawatan Majlis Tertinggi di pemilihan UMNO yang akan diadakan tidak lama lagi.
Katanya keputusan tidak bertanding itu dibuat berlandaskan kebijaksanaan serta keinginan mahu melihat generasi muda diberi peluang menabur bakti kepada parti.
Sambil mengakui ianya bukan satu keputusan mudah berikutan sokongan kuat yang diterima daripada ahli, Dr Zambry berkata apa yang penting buat dirinya adalah memastikan sumbangannya terhadap parti diteruskan.
Menurutnya sebagai Pengerusi Perhubungan Negeri beliau secara automatik tersenarai antara Ahli Majlis Tertinggi yang duduk bermesyuarat di peringkat tertinggi.   
“Dengan jawatan itu, saya secara automatik boleh duduk bermesyuarat di peringkat tertinggi dan disini saya masih boleh menyumbang idea serta pandangan saya.
Oleh itu saya tak lihat ada masalah besar sekiranya saya tidak bertanding. Jadi  saya berpandangan biarlah 25 kerusi Ahli Majlis Tertinggi itu diberi kepada orang lain yang mahu bertanding,” katanya.  
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri jamuan rumah terbuka Hari Raya anjuran Pemuda UMNO Negeri di Kompleks Belia dan Sukan Negeri petang tadi.
Dr Zambry turut menyambut baik langkah sesetangah pemimpin UMNO yang mengesahkan untuk tidak bertanding merebut mana-mana jawatan.
Katanya langkah sedemikian sangat baik kerana ia dapat memastikan golongan muda diberi ruang untuk menunjukkan  kebolehan mereka menerajui parti.
“Saya tahu memang sukar (buat keputusan) tapi inilah pendekatan baru UMNO yang perlu diberi wajah baru. Kita perlu wujudkan ruang kepada generasi baru…golongan professional yang berpendidikan ataupun mereka yang mempunyai latarbelakang pengalaman politik yang luas,” katanya.
Semalam, Menteri Kewangan II Datuk Husni Hanadzlah mengumumkan tidak bertanding bagi jawatan ahli Tertinggi UMNO..
“Keputusan yang diambilnya itu bersesuaian dengan citarasa pengundi muda masa kini yang lebih celik politik yang mahukan pemimpin-pemimpin segar,” katanya.
Beliau bagaimanapun berkata saranan yang dibuat itu tidak bermaksud menahan hasrat mana-mana Menteri Besar atau Ketua Menteri daripada menawarkan diri untuk bertanding.
Katanya keputusan untuk bertanding itu adalah hak masing-masing dan percaya mereka berbuat demikian atas dasar sokongan kuat daripada ahli.
“Sepertimana saya pada pemilihan tahun sebelum ini, saya telah menerima 130 pencalonan daripada 191 namun saya ambil keputusan tidak bertanding dan ini sudah tentunya mengecewakan mereka,” katanya.  

No comments:

Post a Comment