
SHAH ALAM – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegaskan pembersihan daftar pemilih bukan tugas bermusim, ianya adalah tugas rutin badan itu.
Sehubungan itu, Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, SPR akan meneruskan kerja-kerja mengemaskini daftar pemilih yang datanya diperoleh daripada Jabatan Pendaftaran Negara, PDRM dan ATM pada setiap bulan sepanjang tahun.
“Pembersihan daftar pemilih itu tugas wajib SPR walaupun PRU sudah selesai tetapi perkara itu akan tetap diteruskan.
“Bukan habis PRU SPR peluk tubuh saja, tunggu lima tahun atau nak ada PRK baru nak kemaskini,” katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.
Wan Ahmad berkata demikian membidas hasrat Bersih yang ingin turun ke jalanan sekiranya SPR tidak berbuat apa-apa selepas didakwa bersekongkol memenangkan BN dalam pilihan raya lalu.
Menurut Wan Ahmad, dalam pelaksanaan persempadanan semula juga, perkara utama yang perlu dilakukan adalah memastikan daftar pemilih sentiasa dibersihkan.
Tambahnya, SPR sentiasa mengemaskini serta membersihkan daftar pemilih dalam tempoh dua tahun yang diperuntukkan sebelum melaksanakan persempadan semula bagi kawasan Parlimen dan negeri.
Sebuah portal hari ini memetik, Pengerusi Bersih, Datuk S. Ambiga yang mengumumkan akan menganjurkan Bersih 4.0 sekiranya SPR tidak memberi maklum balas terhadap tuntutan mereka.
Ambiga turut menegaskan demonstarasi jalanan akan diadakan jika SPR melaksanakan persempadanan semula di kawasan Parlimen dan negeri, sebelum daftar pemilih dibersihkan.
"Ini bukan satu ancaman tetapi janji. Kita perlu menunjukkan kesungguhan kita dan membuatkan mereka sedar yang kita benar-benar maksudkannya.
"Kita boleh melihat bukti dalam RCI (Suruhanjaya Siasatan Diraja) di Sabah bahawa daftar pemilih di Sabah dan di seluruh Malaysia memerlukan pembersihan. Jika persempadanan dilakukan sekarang, kita akan terperangkap untuk tempoh lapan tahun akan datang dan tidak akan ada perkara yang akan berubah," katanya.
Enggan melatah dengan gesaan itu, Wan Ahmad sebaliknya meminta Ambiga supaya berjumpa dengan pihak yang boleh dirujuk mengenai perkara tersebut termasuk SPR.
“Kita sentiasa terbuka, boleh berjumpa dan berbincang dengan kita jika ada keraguan.
“Mengenai perkara itu, kita sentiasa bersama NGO lain mencari jalan untuk menambah baik sistem pilihan raya.
“Tak perlu mana-mana pihak nak lakukan demostarasi jalanan yang bukannya membantu SPR tetapi menyusahkan orang lain," tambahnya.
No comments:
Post a Comment