Sunday, 18 August 2013

Dr Zambry Lepaskan Jawatan Ketua Cawangan Pangkor

Setelah menerajui UMNO Cawangan Pangkor selama 17 tahun, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengambil keputusan melepaskan jawatannya sebagai Ketua Cawangan dalam mesyuarat petang semalam.

Menurut beliau jawatan itu sekarang telah diserahkan kepada timbalannya Mohd  Wazir Yusof, 56, seorang ahli perniagaan yang telah memegang jawatan timbalan selama enam tahun.

Katanya tindakannya itu dibuat bagi memberi peluang cawangan itu dipimpin oleh ketua baru selain memastikan ketua cawangan menetap di Pangkor supaya dapat memberi khidmat yang lebih berkesan kepada masyarakat.

 "Saya rasakan sudah tiba masanya saya menyerahkan jawatan itu kepada orang lain memandangkan sudah 17 tahun saya menyandang jawatan tersebut," katanya kepada media selepas menghadiri majlis rumah terbuka anjuran UMNO Bahagian Lumut di Dewan Perbandaran Manjung, hari ini.

Dr Zambry berkata, beliau telah memegang jawatan tersebut sejak berusia 34 tahun menjadikannya antara Ketua Cawangan termuda ketika itu.

Jelas beliau kesibukannya sebagai Menteri Besar Perak menyebabkan beliau tidak dapat memberikan sepenuh perhatian kepada cawangan Pangkor.

“Saya rasa adalah lebih baik cawangan ini diberikan kepada orang yang menetap di Pangkor supaya ianya lebih cekap ditadbir,” kata Dr Zambry.

Beliau berharap dengan adanya ketua cawangan yang baru ini maka penduduk pangkor akan lebih produktif dan mendapat perhatian yang lebih.

Bagaimanapun menurutnya, Pulau Pangkor merupakan cawangan yang besar dan mempunyai ahli cawangan seramai 600 manakala ahli UMNO keseluruhan seramai 1,000. 

No comments:

Post a Comment