Kunjungan Naib Ketua Pemuda PAS Pusat, Dr Raja Ahmad Al-Hiss ke rumah terbuka Aidilfitri anjuran Pemuda UMNO Negeri yang diadakan pada raya keempat memberi satu lagi petanda baru iklim politik di Perak.
Walaupun kehadiran beliau hanya sebagai tetamu, namun kemunculannya sedikit sebanyak mencuit hati hadirin kerana ia memperlihatkan bibit-bibit suasana politik matang di kalangan pemimpin Melayu sudah mula bercambah tanpa disedari.
Dr Raja Ahmad apabila diminta mengulas kunjungannya pada majlis tersebut menjelaskan kehadirannya lansung tidak bercanggah dengan prinsip berpolitik di negara ini, malah ianya haruslah digalakkan.
Katanya politik bukan dibataskan dengan fahaman semata-tama tetapi perlu bersandarkan kepada agama yang mana majlis yang bersifat ukwah dan silaturrahim harus melibatkan penyertaan kedua-dua belah pihak.
Ditanya sekiranya kunjungannya itu akan menimbulkan rasa tidak senang kalangan pemimpin PAS negeri terhadap beliau, Dr Raja Ahmad berkata ianya tidak harus berlaku terutama dalam majlis-majlis yang bersifat mahabbah atau ukhwah seperti Hari Raya.
Menurutnya, pemimpin Islam baik PAS mahupun UMNO haruslah menggalakkan penyertaan daripada kedua-dua belah bagi program dan majlis sedemikian bagi menyuburkan proses perpaduan dan penyatuan.
“Hari Raya adalah hari kemenangan yang mana umat Islam digalakkan untuk mengeratkan hubungan ukhwah di samping melangsaikan tanggungjawab kita untuk bermaaf-maafan sesama saudara Islam.
“Maka saya tidak nampak mengapa saya harus menolak jemputan Pemuda UMNO Perak. Lagipun saya tidak ada masalah dengan Azwan (Ketua Pemuda UMNO Khairul Azwan Harun)…dia kawan saya. Apa yang lebih penting, masing-masing mempunyai tanggungjawab untuk pastikan umat Islam bersatu,” katanya ketika ditemuai di rumah terbuka Pemuda UMNO Negeri pada hari raya keempat yang diadakan di dewan Kompleks Belia dan Sukan Negeri.
Dr Raja Ahmad bagaimana pun menegaskan bahawa kunjungan-kunjungan tersebut perlu dibataskan apabila ia melibatkan politik kerana sudah tentu ada percanggahan fahaman di situ.
Katanya sekiranya perlu hadir sekalipun pemimpin PAS diwajibkan untuk memaklumkan kehadiran mereka kepada parti supaya tidak timbul kekeliruan yang boleh mencetuskan prasangka tidak baik kalangan penyokong parti.
“Kebiasannya kita (pemimpin tertinggi parti) akan memberi pertimbangkan sewajarnya sekiranya dimaklumkan. Dalam kes Ustaz Nasa misalnya, penglibatannya tidak dimaklumkan,” katanya merujuk kepada kes bekas timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasaruddin Mat Isa yang nenerima kecaman hebat serta tindakan disiplin kerana mengikuti rombongan lawatan kemanusian bersama-sama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Gaza.
Beliau yang hadir bersama anak perempuannya dan Penolong Setiausaha Pemuda PAS Perak, Safarizal Salleh turut dilihat berbincang mesra bersama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ketika duduk semeja menjamah juadah yang dihidangkan.
“Dr Zambry adalah bekas pensyarah saya di universiti (Universiti Islam Antarabangsa) Dia ajar saya dua subjek dan kesempatan itu, kami banyak berkongsi kisah-kisah di universiti.
Walaupun berbeza idelogi politik, saya tetap menghormati dan kenang jasa dia (Dr Zambry),” katanya.
Dr Raja Ahmad berkata beliau dan pemimpin PAS yang lain tidak ada masalah untuk hadir di mana-mana rumah terbuka anjuran UMNO sekiranya ada jemputan di masa akan datang.
“Ianya tidak janggal bagi saya kerana tahun-tahun sebelum ini juga saya tidak pernah gagal untuk hadir ke majlis raya anjuran UMNO Kuala Kangsar atas jemputan Wan Khairil (Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Khai-ril) dan Maslin Sham Razman,” katanya yang juga Yang Dipertua PAS Kuala Kangsar.
Katanya PAS juga telah mengamalkan pendekatan sama dengan memanjangkan jemputan bagi rumah terbuka Hari Raya kepada pemimpin-pemimpin UMNO.
No comments:
Post a Comment