Thursday, 19 September 2013

Bau Abu Mayat Chin Peng Pun Tidak Boleh Melintasi Bumi Malaysia

Pergerakan Pemuda Umno Ipoh Timor hari ini membuat satu laporan polis, membantah cadangan pihak tertentu yang ingin membawa abu mayat Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng masuk ke Malaysia.

Bendahari Pemuda UMNO Ipoh Timor, Erwin Mukhriz Zahari membuat laporan itu di Balai Polis Pasir Putih, tengahari tadi sambil diiringi kira-kira 30 ahlinya.

Menurut Erwin Mukhriz, Chin Peng tidak boleh dimaafkan kerana semasa mengetuai  PKM, seramai 2,083 anggota keselamatan telah dibunuh dengan kejam di samping seramai 3541 anggota lain menjadi cacat dan trauma sehingga kini.

Selain itu, katanya, seramai 2,588 orang awam telah dibunuh dan 1,490 lagi telah tercedera.

“Pada kami usaha pihak yang ingin membawa masuk abu mayat Chin Peng ke Malaysia amatlah tidak menghormati rakyat negara ini yang rata-ratanya masih teringat dan terkenang tentang kekejaman komunis semasa zaman darurat dahulu.

“Kami Pemuda Umno Ipoh Timor sama sekali tidak bersetuju jika ada pihak tertentu yang cuba membawa pulang abu mayat Chin Peng pulang ke Malaysia.

“Bukan setakat sekelumit abu mayat, bau pun kami tidak mahu melintasi bumi Malaysia yang bertuah ini,” tegas beliau.

Koodinator Sukarelawan Pemuda Barisan Nasional (BNYV Perak) Al – Yashir Yahaya yang turut hadir menambah, permohonan Chin Peng sebelum ini pernah ditolak oleh mahkamah pada tahun 2005.

“Jadi tidak ada sebab munasabah untuk membawa abu mendiang pulang  ke Malaysia,” kata beliau.

Chin Peng atau nama sebenarnya  Ong Boon Hua , 90, meninggal dunia baru-baru ini di salah sebuah hospital Bangkok , Thailand, akibat sakit tua.

No comments:

Post a Comment