Ketua Polis Perak yang baru, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di pejabat Menteri Besar, Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh hari ini.
Beliau yang diiringi Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Mohd Dzunaidi Ibrahim telah mengadakan pertemuan selama kira-kira setengah jam bersama Dr Zambry membincangkan situasi keselamatan dan perkembangan aktiviti kongsi gelap serta perjudian di negeri ini.
Acryl Sani ketika ditemui pemberita selepas kunjungan hormat itu berkata, Dr Zambry telah menyuarakan keprihatinannya berhubung isu-isu kegiatan kongsi gelap dan perjudian yang berlaku dalam negeri ini.
"Pihak PDRM dalam tempoh dua bulan ini telah dan sedang menggempur kegiatan kongsi gelap bukan sahaja di Perak malah di seluruh negara,’’ katanya.
Menurut beliau, secara umumnya Menteri Besar melahirkan rasa puas hati berhubung keadaan keselamatan di negeri ini.
"Bagaimanapun soal kegiatan kongsi gelap merupakan antara isu yang ada ruang untuk kita pertingkatkan perkidmatan bagi menghapuskan jenayah serius ini," katanya.
Mengenai situasi jenayah, beliau memberitahu, indeks jenayah di Perak telah menunjukkan penurunan hasil tindakan keras pihak polis dalam membanteras kegiatan jenayah di negeri ini.
Katanya, dalam tempoh 1 Januari hingga 3 September, indeks jenayah bagi negeri Perak menurun 12.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas daripada 5,792 kes tahun 2012 kepada 5,038 kes tahun ini.
No comments:
Post a Comment