Seorang lagi tahanan polis meloloskan diri petang semalam ketika di dalam perjalanan dari Alor Setar menuju ke Sungai Siput di Perak.
Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, kejadian berlaku kira-kira jam 4 petang di kawasan Rawat dan Rehat (R & R) Bukit Merah Perak.
Beliau memberitahu, tahanan itu yang dikenali sebagai Panner Selvam A/L Heng Jee Kee, 42 dan beralamat di Kepala Batas, Pulau Pinang telah diiringi oleh dua orang anggota polis untuk menghadapi perbicaraan di mahkamah di Sungai Siput.
"Mereka singgah di R & R Bukit Merah setelah tahanan tersebut meminta untuk tandas," katanya pada sidang media pertama beliau sebagai Ketua Polis Perak di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perak di Ipoh hari ini.
Beliau menambah, ketika di kawasan tandas, tahanan telah memperdayakan dua anggota polis dan bertindak melarikan diri ke sebuah motosikal yang pada ketika itu sedia menunggu di kawasan rehat tersebut.
"Tahanan tersebut telah menolak anggota polis sebelum melarikan diri bersama-sama rakannya yang telah menunggu dengan sebuah motosikal," jelas beliau.
Menurut Acryl Sani, tahanan tersebut mempunyai beberapa kes penipuan jual beli kereta, termasuk enam kes yang masih dalam perbicaraan.
Pihak polis sedang menjejaki tahanan dan meminta kerjasama orang ramai untuk mengesan dan menahan semula lelaki tersebut.
No comments:
Post a Comment