Kewujudan 'Tugu Negara' di hadapan kawasan Hentian Rehat dan Rawat(R&R) Gunung Semanggol sejak seminggu lalu menggemparkan ratusan pengunjung yang hadir.
Ramai pengunjung kagum dengan kewujudan tugu itu, malah tidak keterlaluan ramai beranggapan ianya merupakan arca asal Tugu Negara di Kuala Lumpur yang dipindahkan ke kawasan Hentian R&R Gunung Semanggol untuk ditempatkan ke satu lokasi lain.
Bagaimanapun, kewujudan replika tugu negara itu sebenarnya dihasilkan menggunakan gabus polistren melalui kreativiti 29 pengusaha gerai R&R, pengurusan Seksyen N4 PLUS Expressways Berhad dan Projek Penyelenggaraan Lebuhraya Berhad (Propel) yang dihasilkan dalam tempoh seminggu.
Pengurus Seksyen N4 Plus Expressways Berhad, Mohd Kasim Ismail berkata, penghasilan replika Tugu Negara dan beberapa replika perhiasan lain dihasilkan bagi menyahut seruan kerajaan memupuk semangat patriotik dan cintakan negara sempena sambutan bulan kemerdekaan negara ke-56 bermula 31 Ogos lalu.
Menurutnya, selain Tugu Negara, Hentian R&R Gunung Semanggol juga turut dimeriahkan dengan kewujudan sebuah replika mini kereta kebal yang diperbuat daripada buluh, bekas buluh dan tayar motorsikal, papan tanda memaparkan wajah enam tokoh Perdana Menteri Malaysia dan perwira negara.
"Selain itu, kesemua pihak terlibat turut bekerjasama dan bergotong-royong untuk memasang lebih 1,500 helai Jalur Gemilang di kedua-dua Hentian R&R di kedua-dua arah.
"Objektif utama inisiatif menghias dan menceriakan kedua-dua hentian R&R dengan Jalur Gemilang dan replika kemerdekaan bertujuan memupuk kesedaran rakyat terhadap semangat cintakan negara.
"Selain itu, inisiatif itu dilakukan bagi menyertai pertandingan 'Hiasan Merdeka Terbaik R&R 2013' dianjurkan pihak PLUS sendiri,"katanya sewaktu ditemui media di pejabatnya, Parit Buntar, hari ini.
Mohd Kasim berkata, kewujudan replika tugu negara, kereta kebal dan papan tanda patriotik itu kini menjadi tarikan utama pengunjung ketika singgah di kawasan Hentian R&R Gunung Semanggol berikutan keunikan dan kehalusan hasil seni ukiran yang dihasilkan.
Menurutnya, dia berpuas hati dengan tempoh persiapan selama hampir dua minggu yang diambil oleh seluruh peserta terlibat, lebih-lebih semangat kerjasama utuh yang ditonjolkan mereka.
"Bagi saya, perkara paling penting ialah aktiviti ini dapat mengeratkan hubungan silaturrahim di antara pengusaha premis, kakitangan PLUS dan propel, sekaligus melancarkan perjalanan aktiviti di setiap hentian R&R di Seksyen N4,"katanya.
Sementara itu, Penghulu Hentian R&R Gunung Semanggol Arah Selatan, Rejak Habib,53, berkata, kewujudan tugu negara itu menjadi tumpuan orang ramai termasuk pelancong asing untuk bergambar berikutan keunikan dan seni halus yang terdapat padanya.
Menurutnya, pihaknya mendapatkan khidmat nasihat pakar ukiran arca sebelum menghasilkan replika tugu negara itu dan mengambil masa lima hari untuk menyiapkannya.
"Kami berasa amat berpuas hati dengan hasil yang diperolehi dan berharap mampu mengulangi pencapaian johan kategori Hiasan Merdeka R&R Terbaik pada tahun ini, sebagaimana dikecapi tahun 2005.
"Namun, paling penting kami dapat menonjolkan semangat kemerdekaan dan cintakan negara sebagai menghargai nikmat keamanan yang diperolehi rakyat negara ini,"katanya
No comments:
Post a Comment