Friday, 18 October 2013

Esok Segalanya Bakal Terjawab…146,000 Perwakilan Tentukan Saf Kepimpinan UMNO!

Esok Segalanya Bakal Terjawab...146,000 Perwakilan Tentukan Saf Kepimpinan UMNO!

Kesinambungan langkah transformasi Umno diteruskan apabila buat julung kalinya kira-kira 146,000 anggota akar umbi akan menentukan saf kepimpinan tertinggi parti dalam pemilihan esok.
Tarikan pastinya tertumpu kepada siapa yang bakal memenuhi barisan kepimpinan utama parti untuk bergandingan dengan presiden Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menang tanpa bertanding.
Juga penting, pemilihan serentak di seluruh 191 bahagian Umno itu juga akan menentukan teraju kepimpinan parti di peringkat bahagian sebagai tonggak pergerakan Umno di peringkat akar umbi.
Ini kali pertama anggota akar umbi diberi suara lebih besar dalam pemilihan Umno berikutan pindaan Perlembagaan parti pada 2009 ke arah pemilihan lebih terbuka dan telus melalui sistem “electoral college”, di samping bertujuan membasmi gejala politik wang.
Sebelum ini, nasib pemimpin parti pusat hanya ditentukan kira-kira 2,500 perwakilan di perhimpunan agung parti sahaja.
Bagi memenuhi carta Majlis Tertinggi, sebanyak 71 calon akan bertanding merebut 29 kerusi jawatan yang dipertandingkan iaitu Timbalan Pengerusi Tetap (tiga calon), Naib Presiden (enam) dan anggota Majlis Tertinggi (62).
Esok tumpuan pasti kepada enam calon naib presiden iaitu tiga penyandang, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Shafie Apdal akan berdepan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Datuk Mukhriz Dr Mahathir.
Ramai yang mahu melihat adakah ‘pakej’ Hishammuddin, Ahmad Zahid dan Shafie masih mampu mengekal kedudukan, tidak kurang yang mencongak gabungan baharu akan terbentuk dengan Mukhriz yang dikatakan sebagai calon ‘pilihan’ dalam kalangan tiga pencabar tersebut.
Tidak kurang menariknya pertandingan merebut kerusi MT yang menyaksikan pencalonan 62 orang, gabungan muka baharu dan lama untuk menempatkan diri memenuhi 25 kerusi yang dipertandingkan.
Bagi jawatan itu, tiga pemimpin tertinggi negeri iaitu Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron dan Menteri Besar Perlis Azlan Man menawarkan diri untuk bertanding.
Turut bertanding lapan menteri iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Datuk Seri Shahidan Kassim; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh; Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahalan dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hasan Malek.
Selain itu, empat timbalan menteri turut disenarai sebagai calon MT iaitu Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim; Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Tajuddin Abdul Rahman dan Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohd Sadique.
Beberapa penyandang MT turut mempertahankan kerusi masing-masing termasuk Datuk Nong Chik Raja Zainal Abidin, Datuk Musa Sheikh Fadzir, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, Dr Mohd Puad Zarkashi, Datuk Seri Jamaludin Mohd Jarjis, Datuk Bung Moktar Radin, Datuk Abd Latiff Ahmad, Datuk Dr Norraesah Mohamad dan Datuk Saifuddin Abdullah.
Beberapa nama besar yang menawar diri termasuk Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Azalina Othman Said, Tun Faisal Ismail Aziz manakala kemunculan semula Tan Sri Rahim Tamby Chik dan Datuk Seri Dr Siti Zaharah Sulaiman turut mencuri perhatian sama ada mereka mampu menggugat peluang calon lain.
Pemilihan esok juga akan menyaksikan pertemuan tiga penjuru bagi merebut jawatan timbalan pengerusi tetap yang disandang Datuk Mohamad Aziz, dengan pencabarnya Ahmad Fariz Abdullah dan Datuk Abd Rahman Palil.
Jawatan Pengerusi Tetap yang disandang Tan Sri Badruddin Amiruldin sebelum ini diumum menang tanpa bertanding.
Setakat ini ibu pejabat Umno belum memberi sebarang tempoh bila keputusan pemilihan akan diumumkan.

No comments:

Post a Comment