Seorang ahli perniagaan berdepan saat paling mencemaskan apabila diculik, digari dan sebahagian besar anggota badannya dililit dengan pita pelekat oleh sekumpulan suspek selepas mengeluarkan wang tunai RM20,000 dari sebuah bank di Taman Wawasan, dekat Parit Buntar, hari ini.
Lebih mengejutkan, mangsa ditahan tiga suspek yang menyamar sebagai anggota polis sewaktu hendak pulang ke rumahnya sebelum diculik dan ditinggalkan suspek berkenaan di dalam sebuah ladang kelapa sawit di Changkat Lobak, Bagan Serai, yang terletak kira-kira 40 kilometer dari lokasi kejadian.
Mangsa yang hanya dikenali sebagai Kwang,55, berkata, lebih kurang jam 12.30 tengahari, dia baru selesai mengeluarkan wang tunai daripada sebuah bank tempatan di Taman Wawasan, di sini untuk digunakan bagi membayar wang gaji pekerja.
Menurutnya, selepas mengeluarkan wang, dia bergegas pulang ke rumahnya di Taman Kerian Permai, dengan menaiki sebuah kereta pacuan empat roda jenis Toyota Harrier sebelum kenderaannya dihalang sebuah kereta jenis Honda Accord berwarna hitam sewaktu hendak memasuki simpang masuk ke taman perumahannya.
"Saya terkejut dengan tindakan kereta berkenaan dan segera memberhentikan kenderaan.
"Selepas itu, saya melihat tiga lelaki berpakaian polis keluar dari kereta terbabit, mengarahkan saya keluar dan terus menggari tangan saya setelah mendakwa saya ditahan kerana terbabit kes dadah.
"Saya segera dibawa masuk ke dalam kereta dinaiki kumpulan suspek berkenaan dan apabila saya bertanyakan ke mana saya akan dibawa pergi, salah seorang suspek menjawab 'Sungai Petani',"katanya sewaktu ditemui media di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Kerian.
Kwang berkata, apabila memasuki kereta suspek, salah seorang suspek kemudiannya bertindak melilit keseluruhan bahagian kepala dan tangannya dengan menggunakan pita pelekat berwarna biru dan hanya meninggalkan sedikit ruang di bahagian hidung untuk bernafas.
Menurutnya, dia kemudiannya dibawa ke sebuah lokasi yang tidak diketahui, manakala beg sandangnya yang menyimpan wang gaji pekerja diambil kumpulan suspek.
"Setelah lebih sejam menaiki kereta berkenaan, kumpulan suspek itu mengarahkan saya keluar dan salah seorang suspek bertindak membuka gari di tangan saya.
"Saya segera melarikan diri tanpa mengetahui arah dituju. Setelah yakin saya tidak dikejar kumpulan suspek berkenaan, barulah saya membuka lilitan pita pelekat pada bahagian kepala dan tangan saya,"katanya.
Kwang berkata, setelah lilitan pita pelekat dibuka, dia terkejut kerana dia ditinggalkan di tengah-tengah sebuah ladang kelapa sawit yang tidak diketahui lokasinya, manakala kelibat suspek sudah tidak kelihatan.
Menurutnya, dia terpaksa berjalan kaki untuk mencari jalan keluar dan berjaya mendapatkan bantuan untuk keluar dari kawasan ladang itu lebih kurang setengah jam kemudian apabila terdapat sebuah lori mengutip buah kelapa sawit lalu di kawasan itu.
"Saya terkejut apabila pemandu lori berkenaan memaklumkan lokasi ladang kelapa sawit itu terletak di Changkat Lobak.
"Saya segera meminta pertolongannya untuk menghantar saya ke IPD Kerian bagi membuat laporan polis lebih kurang jam 3 petang,"katanya.
Kwang berkata, berdasarkan pemerhatiannya, kesemua suspek berkenaan berusia lingkungan 30an dan dipercayai penduduk tempatan berdasarkan bahasa percakapan.
"Kejadian hari ini(kelmarin) benar-benar menakutkan saya memandangkan saya tidak mempunyai sebarang musuh dan berhutang dengan sesiapa.
"Saya berharap pihak polis dapat menjalankan siasatan terperinci seterusnya memberkas kumpulan suspek terbabit,"katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan menegaskan kes masih dalam siasatan.
Beliau turut meminta kes itu tidak disensasikan bagi mengelakkan persepsi negatif orang ramai terhadap anggota polis.
"Selagi siasatan kes tidak lengkap sepenuhnya, pelbagai versi penceritaan mengenai kejadian culik itu akan disebarkan kepada orang ramai tanpa mengetahui impak negatif yang bakal dihadapi kami.
"Justeru, saya menggesa semua pihak memberi ruang kepada siasatan dijalankan sepenuhnya untuk mendapat gambaran sebenar punca dan motif kejadian berlaku,"katanya.
No comments:
Post a Comment