Sunday, 18 August 2013

Hindari Kenyataan Tidak Berfakta

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada hari ini menasihati semua wakil-wakil rakyat agar tidak mengeluarkan kenyataan tidak berfakta atau yang bukan-bukan.

Katanya pada zaman sekarang, rakyat semakin responsif di mana mereka pantas dalam memberikan tindak balas dalam segala hal yang berbangkit dan perbuatan membuat kenyataan tidak bertanggungjawab boleh mengundang pelbagai masalah.

Menurutnya, tugas wakil rakyat bukan sahaja berkhidmat untuk rakyat malah menjadikan suasana harmoni dan sejahtera.

"Setiap wakil rakyat tidak seharusnya menganggap jawatan mereka sebagai satu yang istimewa kerana ia merupakan amanah dan tanggungjawab buat rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Hari Raya anjuran UMNO Lumut di Dewan Merdeka Seri Manjung, hari ini.

Kata Dr Zambry, seorang wakil rakyat harus kerap turun ke kawasannya untuk memantau segala masalah atau sebarang perkara berbangkit di suatu kawasan bukannya datang melawat sebulan sekali.

Pada masa yang sama, beliau memohon rakyat agar mengambil iktibar san tidak terpengaruh dengan kejadian yang berlaku di negara Mesir akibat daripada perbuatan yang tidak bermoral.

'Kita tidak mahu perang saudara tercetus di negara kita sendiri akibat daripada permasalahan politik yang timbul di Malaysia kerana jika berlaku ia susah dibendung." katanya.

Jamuan Aidilfitri tersebut dihadiri lebih 15,000 tetamu pelbagai kaum yang datang memeriahkan majlis tersebut.


No comments:

Post a Comment